Thursday, 14 October 2010

Berita Harian Online: 'Komuniti Pintar' bakal diperkenal di Putrajaya, Cyberjaya

'Komuniti Pintar' bakal diperkenal di Putrajaya, Cyberjaya

2010/10/11
MODEL pembangunan dikenali sebagai ‘Komuniti Pintar’ yang terbukti berkesan dalam mewujudkan sebuah bandar raya mesra alam dan menjimatkan tenaga di Jepun bakal di perkenalkan di Putrajaya dan Cyberjaya, kata Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie (bawah).

Program itu katanya, adalah satu daripada enam agenda utama dalam inisiatif kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam membangunkan teknologi hijau yang dikenal pasti sebagai model paling berkesan dalam merencanakan pembangunan sesebuah bandar raya moden dan mesra alam.
Beliau berkata, inisiatif itu akan mencadangkan sistem sosiotenaga masa hadapan yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga tidak digunakan, transformasi sistem pengangkutan serantau dan gaya hidup rakyat menerusi penggunaan teknologi maklumat (IT) secara efisyen.
“Inisiatif ini bukan hanya membabitkan usaha oleh kerajaan tetapi juga swasta juga akan terbabit sama dalam menjayakannya,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Inisiatif kerjasama Malaysia-Jepun untuk alam sekitar dan tenaga dilancarkan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan rasmi ke Jepun April lalu yang mana kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan serta mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang itu.

September lalu, kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan kunjungan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ke Jepun.

Ketika kunjungan itu, Peter Chin mengadakan mesyuarat dengan beberapa tokoh penting kerajaan Jepun termasuk Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Menteri Prasarana Tanah, Pengangkutan dan Pelancongan serta melawat ke pelbagai tapak dan kemudahan berkaitan teknologi hijau.
Horie berkata, selain usaha menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai bandaraya hijau, agenda utama lain dalam inisiatif kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam membangunkan teknologi hijau di negara ini ialah kerjasama menjadikan pembangunan Iskandar Malaysia di Johor sebagai bandaraya rendah karbon, penjimatan tenaga, rawatan air dan tapak pelupusan sampah, Pameran Teknologi Hijau Antarabangsa dan Produk Eko (IGEM) dan forum serantau Asia.

“Susulan kerjasama itu, beberapa syarikat Jepun juga dijangka akan melabur di negara ini dalam sektor berkaitan 
teknologi hijau,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...