Thursday, 14 October 2010

Berita Harian Online | Nilai eksport Malaysia RM52.85b

Nilai eksport Malaysia RM52.85b

2010/10/09
MALAYSIA mencatatkan eksport bernilai RM52.85 bilion pada Ogos 2010 naik 10.6 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, pada bulan itu import berkembang sebanyak 16.5 peratus kepada RM44.53 bilion, menjadikan kenaikan 13.2 peratus dalam jumlah dagangan kepada RM97.38 bilion daripada setahun lalu.
Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bagaimanapun berkata, pada asas bulanan, eksport pada Ogos 2010 susut 4.6 peratus manakala import berkurangan 8.0 peratus.
“Peningkatan dalam eksport pada Ogos sebanyak RM5.07 bilion daripada setahun lalu, disumbangkan oleh eksport gas asli cecair, produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum bertapis, produk kimia dan bahan kimia, getah mentah, optikal dan peralatan saintifik, pengeluaran logam, jentera, perkakasan dan komponen, produk getah dan minyak sawit yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu semalam.

Secara keseluruhannya, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM8.32 bilion pada Ogos 2010, menjadikan lebihan dagangan bagi bulan ke-154 berturut-turut sejak November 1997.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini, jumlah dagangan meningkat sebanyak 24.8 peratus kepada RM770.53 bilion.

Eksport berkembang sebanyak 22.2 peratus kepada RM424.11 bilion manakala import sebanyak 28.1 peratus kepada RM346.42 bilion, menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM77.69 bilion.
Jumlah eksport ke Asean meningkat sebanyak 20.9 peratus kepada RM107.96 bilion, atau 25.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia semasa tempoh Januari hingga Ogos 2010.

Jumlah eksport ke China meningkat 33.8 peratus kepada RM53.72 bilion, atau 12.7 peratus daripada jumlah eksport negara semasa tempoh berkenaan.

Penyumbang utama kepada kenaikan itu adalah barangan E&E yang menguasai 51.2 peratus daripada jumlah eksport ke China.

Berita Harian Online | Nilai eksport Malaysia RM52.85b

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...