Thursday, 28 October 2010

Berita Harian Online | Henti prasangka

Henti prasangka


2010/10/20

MUHYIDDIN berucap ketika perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Kuala Lumpur, malam tadi.

MUHYIDDIN berucap ketika perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Muhyiddin beri jaminan UMNO tetap pertahan hak orang Melayu

KUALA LUMPUR: Hentikan prasangka. Itulah mesej Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada mana-mana kumpulan yang masih mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta hak yang sah bagi kaum lain.
 
Sambil menegaskan UMNO akan terus mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera, Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan hak kaum lain tetap dihormati seperti dalam Perlembagaan.
“Kepada orang Melayu dan Bumiputera, saya menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

“Kepada kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Muhyiddin dalam ucapannya bertajuk ‘Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan’, mahu perasaan curiga antara kaum dibendung segera bagi mengelak percikan api kemarahan menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang dibina selama ini.

“Debat perkauman mesti dihentikan, bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang sudah meletakkan asas-asas bagi negara kita.
“Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu fitrah dan sahih, manakala dalam masyarakat majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai jika semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap kemakmuran secara adil.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar ketika pihak lain menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum di negara ini, UMNO sudah pun membuktikan bahawa semua kaum mendapat jaminan hak yang adil.

“Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi, di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama mereka.

“Sebaliknya, di Malaysia, melalui UMNO, pengasas negara kita sudah memilih dasar inklusif, yang menerima dan memberi layanan adil kepada semua kaum, inilah bukti keadilan dan keterangkuman UMNO,” katanya.

Muhyiddin juga menegaskan politik berasaskan kaum yang diamalkan UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau rasis.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. UMNO tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu saja.

“Pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk,” katanya.

Selaras pendirian ini, katanya, Umno menjunjung Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua warga negara berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.


Kad laporan nilai prestasi pemimpin diwujudkan
Menjulang perjuangan, mengisi harapan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...