Monday, 4 October 2010

Berita Harian Online | Bersangka baik mampu perteguhkan perpaduan sesama Islam

Bersangka baik mampu perteguhkan perpaduan sesama Islam
Oleh Mohd Adid Ab Rahman

2010/09/30
HUBUNGAN baik sesama manusia perlu dibina dengan penuh keinsafan dan rasa kasih sayang selari pesan agama. Dengan itu, akan terbentuklah suasana perpaduan serta persaudaraan yang bermakna dan mengagumkan sesiapa saja.

Hidup masyarakat dengan semangat perpaduan pasti diselubungi kebahagiaan, kedamaian serta dirahmati Allah SWT. Bertepatan ketetapan Islam bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa, budaya dan taraf sosial.

Firman Allah yang bermaksud: Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Segala bentuk perbuatan, sikap dan sifat memperteguhkan persaudaraan haruslah dibudayakan serta dikekalkan sementara perkara negatif yang boleh menggugat persaudaraan hendaklah dijauhkan.

Satu sifat dapat menjamin hubungan baik ialah bersangka baik. Jika ini diamalkan, jalinan persaudaraan dan perpaduan sesama mukmin menjadi lebih mantap, pastinya kekeruhan dapat dielakkan.

Firman Allah yang bermaksud: Hai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Surah al-Hujuraat, ayat 6)

Satu hal yang menarik apabila seseorang berbaik sangka, jiwanya akan tenteram kerana tiada sifat iri hati atau dengki yang pasti mengundang kemurkaan Allah. Islam melarang orang mukmin bersangka buruk kerana boleh meruntuhkan persaudaraan.
Allah berfirman yang bermaksud: Hai orang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), kerana daripada purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Saidina Umar Al-Khattab menegaskan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandung kebaikan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta. (Hadis Muttafaqun Alaih)

Buruk sangka menyebabkan terciptanya dosa seperti bohong, benci, dengki, marah dan sifat tercela lain.

Rasulullah SAW memberi peringatan tegas yang bermaksud: Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Hati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. (Hadis riwayat Bukhari)

Persaudaraan dan perpaduan akan sentiasa wujud apabila kita menonjolkan identiti umat Islam yang indah dan menarik. Jika gemar berburuk sangka, maka segeralah bertaubat kepada Allah. Ingatlah, ketenteraman akan terhasil dengan adanya perpaduan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...