Thursday, 28 October 2010

Berita Harian Online | Beri ikut mampu

Beri ikut mampu
Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my
2010/10/17

image

NAJIB melayan pendidik sambil diperhatikan Muhyiddin pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Kerajaan tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan: Najib

KUALA LUMPUR: "Jika ikutkan hati, memang saya mahu berikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada pembentangan Bajet 2011 tetapi sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan," kata Datuk Seri Najib Razak.
 
Perdana Menteri berkata, jika beliau berbuat demikian, ia akan membabitkan perbelanjaan besar iaitu RM3.1 bilion.
“Sebab itu, sehabis-habis baik ialah dapat memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah.

“Kerajaan bermurah hati, kita panjangkan pemberian berkenaan kepada pesara kerajaan, walaupun mereka barangkali tidak ada anak di sekolah,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam, yang dihadiri kira-kira 14,000 guru.

Presiden CUEPACS, Omar Osman kelmarin berkata, CUEPACS gembira dengan Bajet 2011 yang memenuhi sebahagian besar tuntutan 1.24 juta penjawat awam selama ini, tetapi masih berharap kerajaan akan dapat memberikan bonus dua bulan gaji kepada mereka tahun ini.

Najib berkata, walaupun tiada pemberian bonus, kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.
Sementara itu, Najib mahu empat perkara diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk melahirkan masyarakat yang fasih dan mahir dalam dwibahasa, kerana setiap rakyat wajib dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan juga perlu fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

“Jika boleh, mahir dalam tiga bahasa kerana ia dapat meningkatkan daya saing rakyat dan negara,” katanya.

Najib berkata, sistem pendidikan juga perlu mampu membangunkan keintelektualan generasi muda, iaitu tahu berfikir secara kreatif serta inovatif dan bukan menghafal serta memberi jawapan dalam peperiksaan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...