Monday, 27 September 2010

Berita Harian Online | Sektor perbankan biaya projek swasta bawah ETP


Sektor perbankan biaya projek swasta bawah ETP
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/09/27

PENGERUSI Kumpulan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor (dua dari kanan) dan Abdul Wahid menyampaikan  duit raya pada rumah terbuka Maybank di Kuala Lumpur.
PENGERUSI Kumpulan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor (dua dari kanan) dan Abdul Wahid menyampaikan duit raya pada rumah terbuka Maybank di Kuala Lumpur.
Pelaksanaan infrastruktur beri kesan gandaan kepada ekonomi

SEKTOR perbankan negara akan berperanan sebagai sumber pembiayaan utama bagi pelaksanaan projek swasta di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM), berkata hampir 90 peratus pembiayaan pelaburan yang digariskan di bawah program akan datang daripada sektor swasta dan sebahagian daripadanya akan diperoleh menerusi sektor perbankan.
“Pelaksanaan Projek infrastruktur utama ETP akan memberikan kesan gandaan yang tinggi kepada ekonomi, justeru sebagai institusi perbankan, kami harus sentiasa bersedia mengeluarkan dana bagi melaksanakan projek berkenaan dengan proses pembiayaan balik yang jelas.

“Persekitaran perniagaan dan pelaburan di Malaysia kini menjadi semakin kondusif untuk pertumbuhan kerana negara memiliki sistem perbankan yang teguh, kecairan yang tinggi, kualiti aset yang sihat serta persekitaran kadar faedah yang rendah,” katanya pada wartawan selepas majlis rumah terbuka Maybank di Kuala Lumpur.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang ditubuhkan kerajaan khusus melaksana dan memantau ETP, sudah mengenal pasti sejumlah 131 projek yang perlu untuk dilaksanakan sepanjang tempoh transformasi 10 tahun itu.

Difahamkan, program, antara lain menggariskan pelaksanaan tujuh projek pembinaan berimpak termasuk pembinaan Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT); industri elektrikal dan elektrik menerusi penempatan semula syarikat multinasional serta industri pelancongan yang keseluruhannya bernilai RM119 bilion.
Beberapa nama syarikat yang komited melaksanakan projek berkenaan sudah dikenal pasti PEMANDU dan dijangka akan di muktamad dan diumumkan tidak lama lagi.

Mengenai Bajet 2011, Abdul Wahid berkata, ia akan memberikan gambaran yang lebih jelas dan terperinci mengenai pelaksanaan ETP dan Model Ekonomi Baru (MBE).

“Kita kini memiliki pelan utama 10 tahun, kemudian kita ada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan bajet tahunan yang akan memberikan gambaran terperinci bagaimana projek akan dibiayai termasuk nilai peruntukannya,” katanya.

“Bagi institusi perbankan, kami berharap kerajaan akan terus menjadi penyokong pelaburan serta perniagaan, selain daripada terus mengekalkan kadar faedah yang rendah serta membentuk persekitaran cukai pendapatan yang rendah bagi tujuan pembangunan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Wahid berkata, kumpulan perbankan terbesar Malaysia itu komited untuk meneruskan pelaburannya di Indonesia meskipun berlaku demonstrasi anti-Malaysia di negara itu.

Katanya, Indonesia tetap menjadi ekonomi terbesar dalam rantau Asean dan bank itu komited untuk memperkukuh kedudukannya di negara itu.

“Jika kita membuat pelaburan jangka panjang, kejadian kecil seperti demonstrasi itu, tidak seharusnya mematahkan semangat kami.

“Kami melabur di Indonesia untuk jangka panjang. Kami akan terus melabur dan berkembang di Indonesia,” tegasnya.

Beliau berkata bank, itu yang kini mempunyai lebih daripada 290 cawangan di Indonesia, akan membuka cawangan baru dalam tempoh seminggu lagi untuk mencapai jumlah 400 cawangan di negara itu dalam dua tahun akan datang.

Tentang cadangan urus niaga ringgit di peringkat antarabangsa, Abdul Wahid berkata, kerajaan perlu memastikan persekitarannya kondusif dan rizab antarabangsa negara mestilah mencukupi sebelum ia melaksanakan cadangan itu.

Berita Harian Online | Sektor perbankan biaya projek swasta bawah ETP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...