Monday, 20 September 2010

Berita Harian Online | Sabah & Sarawak: Menggatal bukan 'gatal'

Sabah & Sarawak: Menggatal bukan 'gatal'
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

2010/09/20

Pembinaan replika mangga perjelas maksud nama pekan berkenaan

KOTA KINABALU: Sebutan Menggatal yang merujuk kepada sebuah pekan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di sini yang sering disalah tafsir pengunjung luar sebagai bermaksud negatif akan diperbetulkan menerusi pembinaan mercu tanda pekan yang akan memaparkan maksud sebenar nama pekan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Johnny Goh, berkata pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sepakat membina replika buah mangga sebagai mercu tanda di Bulatan Pulutan, kerana mangga ialah sebutan asal nama pekan itu. Katanya, kebanyakan pengunjung luar tidak tahu mengenai sejarah nama Menggatal yang sebenarnya berasal daripada perkataan mangga gatal yang diambil berikutan kewujudan sepohon pokok mangga di pekan itu yang buahnya menyebabkan rasa gatal apabila dimakan. "Pokok mangga gatal itu tumbuh pada zaman awal pembukaan pekan ini puluhan tahun lalu dan ia hanya diketahui oleh penduduk di pekan Menggatal. Ketika itu nama pekan ini memang disebut sebagai `Mangga Gatal' tetapi lama kelamaan sebutan itu diringkaskan menjadi `Menggatal'.

Sebutan itu bagaimanapun ditafsir membawa maksud yang negatif oleh orang luar. Sehubungan itu, bagi memperbetulkan tanggapan negatif mengenai maksud nama pekan ini, kita minta DBKK membina sebuah mercu tanda buah mangga untuk menggambarkan asal usul nama Menggatal," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, walaupun pokok mangga gatal yang menjadi asas nama pekan itu sudah tiada, sejarahnya masih kekal dan segar dalam ingatan kebanyakan generasi tua di Menggatal yang satu ketika dulu pernah menyebut nama pekan itu sebagai Mangga Gatal.

Katanya, usaha membina mercu tanda yang mengambil sempena asal usul nama pekan Menggatal itu juga penting bagi memastikan cerita yang ada di sebalik nama berkenaan diketahui generasi muda masyarakat di Menggatal dan orang luar keseluruhannya.
Sekarang ini, generasi muda di Menggatal sendiri ramai yang tidak tahu mengenai cerita mangga gatal ini. Saya bimbang satu hari nanti apabila semua generasi tua yang tahu mengenai cerita ini sudah tiada, sejarah asal usul pekan ini akan pupus.

"Akibatnya nanti semua orang akan membuat tafsiran sendiri berdasarkan maksud tersurat sebutan `menggatal' yang bersifat negatif. Sebab itulah perlu ada usaha untuk menghidupkan kembali sejarah asal usul pekan ini, katanya.

Pada masa sama, Goh berkata, pembinaan mercu tanda itu juga adalah antara usaha untuk meningkatkan keindahan landskap dan imej pekan Menggatal supaya kelihatan lebih menarik sesuai dengan kedudukannya sebagai sebahagian daripada kawasan bandar raya.

Katanya, usaha juga sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan di pekan Menggatal serta melaksanakan projek pencegahan banjir membabitkan beberapa sungai antaranya projek meluruskan Sungai Darau dan membina benteng penahan tebing Sungai Mansiang.

Berita Harian Online | Sabah & Sarawak: Menggatal bukan 'gatal'

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...