Thursday, 23 September 2010

Berita Harian Online | Perpaduan asas jayakan transformasi


Perpaduan asas jayakan transformasi
Oleh Johari Ibrahim

2010/09/23

NAJIB   diiringi Jamil Khir bersalaman dengan pemimpin agama sempena sambutan Hari Malaysia, di Putrajaya, semalam.
NAJIB diiringi Jamil Khir bersalaman dengan pemimpin agama sempena sambutan Hari Malaysia, di Putrajaya, semalam.

Kefahaman Perlembagaan mampu wujud keharmonian kaum: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam menjayakan program transformasi termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini. 

Perdana Menteri berkata, antara aspek penting dalam memupuk perpaduan kaum dan agama di negara ini ialah menerusi kefahaman berasaskan kepada formula yang dibentuk oleh pemimpin dan pengasas negara ini pada masa lalu yang disifatkannya sebagai payung induk. "Baru-baru ini, kita dengar mengenai Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya. Ingat, tidak akan ada transformasi tanpa perpaduan nasional," katanya. Beliau berkata pimpinan negara terdahulu menemui formula yang inklusif untuk memupuk keharmonian kaum sejak 53 tahun lalu seperti prinsip Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain tidak dihalang digunakan. 

Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain bebas diamalkan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama bukan Bumiputera juga ada hak pada sisi Perlembagaan. 

"Kalau itu prinsip induk dan dasar yang kita amalkan, untuk diterjemahkan kepada hidup seharian, kita perlu kepada penterjemahan yang boleh menjurus kepada keharmonian yang mewakili pelbagai kaum dan agama," katanya pada majlis muhibah makan tengah hari bersama pemimpin pelbagai agama sempena sambutan Hari Malaysia di sini, semalam. 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung serta pemimpin agama Islam, Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian. 
Najib berkata, perkara seperti tempat sesuai untuk membina rumah ibadat memerlukan pertimbangan yang bijak dan berhikmah dalam konteks Malaysia untuk mengelakkan ketegangan. 

"Istilah agama yang kita hendak guna juga ada cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan keturunan," katanya. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh memberi tumpuan soal pembangunan dan ekonomi saja sebaliknya perlu juga menangani isu perpaduan kaum. 

"Kita ada banyak contoh negara maju boleh hancur kalau tidak menangani isu seperti ini. Sebab di dunia ini banyak orang kepala tak betul...di negara maju pun banyak (orang) kepala tak betul...macam nak bakar al-Quran, itu kepala tak betul kerana dia tidak boleh terima agama lain ada kebaikannya, agama Islam ada kebaikannya," katanya. 

Perdana Menteri berkata, salah faham dan konflik antara kaum dan agama adalah berpunca daripada tiada kefahaman dan pengetahuan mengenai kaum lain. 

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, persefahaman antara kaum dan agama adalah asas untuk membina sebuah negara yang kuat. 

Bagaimanapun, pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya membincangkan isu berkaitan kaum dan agama secara tertutup dan dalam suasana muhibah. 

Justeru, katanya, kewujudan jawatan kuasa berkenaan penting sebagai platform bagi membolehkan pelbagai isu antara kaum dan agama dibincangkan secara tertutup.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...