Thursday, 23 September 2010

Berita Harian Online | Obama mahu pertemuan dengan Najib lebih awal

Obama mahu pertemuan dengan Najib lebih awal


2010/09/23

DATUK Seri Najib Razak dijangka tiba di New York, hari ini iaitu lebih awal daripada jadual asal berikutan keinginan Presiden Barack Obama untuk bertemu beliau sebelum bermulanya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-65.

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pemimpin Amerika itu menaruh harapan tinggi hendak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bersama semua ketua kerajaan ASEAN menerusi Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-AS itu. Perdana Menteri akan datang awal kerana mendapat jemputan daripada Obama. Saya dimaklumkan, Rumah Putih beranggapan kalau Obama mengadakan pertemuan dengan ketua negara ASEAN tanpa kehadiran Najib, ia bagaikan satu kecacatan. Sebab itu, saya menghantar pesanan kepada Perdana Menteri supaya mengubah jadual kedatangannya ke sini (AS), katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi mesyuarat meja bulat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan lebih 40 ahli perniagaan dan pelabur AS di Hotel Hyatt Philadelphia, semalam.

Program itu dikendalikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengikut jadual asal, Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New York kira-kira jam 7.50 pagi Ahad ini, sebelum menghadiri UNGA pada keesokannya.

Mengikut kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan di Kuala Lumpur kelmarin, Perdana Menteri diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia di Debat Umum Perhimpunan Agung pada 27 September 2010, selain menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat esok.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...