Monday, 27 September 2010

Berita Harian Online | Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat

Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat
Oleh Mohamad Abdullah

2010/09/27
AKHBAR Berita Minggu pada 22 Ogos lalu melaporkan 221 orang terjebak dalam kancah dadah sejak Januari 2009. Sepanjang tahun ini golongan muda dikatakan paling ramai terjebak dengan dadah dan dianggarkan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,079 penagih dadah baru dan berulang. Golongan profesional dan yang agak stabil dalam pekerjaan juga mencatat kes tinggi dengan mencatatkan sejumlah 18.2 peratus daripada statistik yang dikeluarkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) kelolaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Laman Web Majlis AIDS Malaysia pula masih meletakkan amaran bahawa kira-kira setiap hari lebih 10 rakyat Malaysia dikesan HIV positif. Antara 1986-2009 sebanyak 87,710 kes HIV, 15,317 kes Aids dan 13,394 kematian berkaitan HIV/Aids dicatatkan di negara kita. Daripada keseluruhan kes jangkitan HIV mengikut kaum di Malaysia, 70 peratus dikatakan dihidapi orang Melayu.

Semua ini adalah apa yang dianggap sebagai gejala sosial yang merunsingkan kita. Ini belum lagi diambil kira masalah pembuangan bayi dan kes maksiat yang menjengkelkan seperti dipaparkan akhbar saban hari. Oleh kerana ia begitu banyak dipaparkan, nampaknya ramai yang menerimanya sebagai perkara biasa, rutin harian dan masing-masing menuding jari satu sama lain dalam memperkatakan mengenai sebab, tanggungjawab dan siapa yang harus mengambil tindakan sewajarnya.

Selaras dengan kedudukan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai asas terpenting dan prinsip pertama Rukun Negara, institusi agama sewajarnya digemblengkan untuk memainkan peranan dalam menjalankan usaha bersama-sama membantu mereka yang tersalah jalan dan perlukan bimbingan. Institusi agama perlu menjadi nadi dalam memperkasakan jati diri rakyat dan menjadi tempat untuk dituju apabila berhadapan dengan masalah yang membawa mereka terjebak ke kancah dadah mahu pun masalah lainnya.

Institusi agama meliputi semua yang terbabit secara langsung dalam hal urusan agama dan bagi umat Islam, institusi seperti masjid, surau dan pertubuhan mahu pun agensi amanah yang berkaitan dengan agama, wajar digembleng dengan sepenuhnya. Institusi ini perlu cukup mesra dengan kumpulan sasaran mereka sehingga berupaya menarik orang ramai, termasuk belia, remaja dan yang dianggap bermasalah untuk mendampinginya.

Oleh kerana itu, langkah pertama ialah dengan menukar persepsi yang ada pada institusi agama serta persepsi terhadap mereka yang berada di dalamnya dan persekitarannya untuk lebih mesra pelanggan. Institusi agama tidak wajar hanya dilihat sebagai badan yang menjatuhkan hukuman dari segi undang-undang syariah mahu pun hukuman moral berdasarkan dosa dan pahala semata-mata, tetapi lebih daripada itu sebagai institusi pembangunan sosial yang dapat menjana seluruh kekuatan yang untuk masa depan negara.

Institusi agama bukan didekati hanya untuk tujuan keagamaan seperti menguruskan jenazah, solat dan nikah kahwin semata-mata, tetapi melangkauinya, apatah lagi bagi Islam sebagai agama syumul yang menggembleng kekuatan semua aspek hidup, ekonomi, sosial, budaya, kemasyarakatan malah dapat dirumuskan sebagai apa jua yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia dan insan, hubungan dengan alam, apatah lagi hubungan dengan pencipta-Nya.
Institusi agama wajar menjadi tempat teduh mereka yang berhadapan dengan tekanan hidup melalui bimbingan dan sokongan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Malah, mereka yang mempunyai ilmu ini wajar berkawan dan berusaha memahami golongan ini dengan cara paling berhemah dan berhikmah. Menuding jari kepada mereka yang dianggap melakukan dosa dan membuat kesilapan dalam hidup adalah ibarat memangsakan orang yang sudah sedia menjadi mangsa. Sekali gus jika ini dapat dilakukan, kita dapat menukar persepsi yang ada kepada agama yang bagi sesetengah orang yang melihatnya secara dangkal dan sinis.

Oleh itu, institusi agama wajar mempunyai mereka yang kreatif dan inovatif dalam mendekati sesiapa saja untuk berdamping dengannya. Malah, ada ketikanya, perlu proaktif untuk keluar dan mendekati mereka yang melalui lorong kehidupan yang dianggap salah yang mungkin dia sendiri pun tidak mengingininya, tetapi berlaku atas pelbagai alasan yang tidak perlu diperkatakan. Yang ketara ialah kesan daripada keruntuhan sistem kekeluargaan, pegangan agama yang nipis, pelbagai pengaruh luar dan banyak lagi.

Kreativiti dan inovasi melalui institusi agama harus berlaku dalam semua urusan dan dipermudahkan melalui apa jua teknologi yang ada. Kemudahan internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS), misalnya harus dimanfaatkan sepenuhnya. Alangkah eloknya jika institusi agama mahu pun institusi amanah yang berkaitan dengan agama mempunyai sistem rangkaian yang canggih yang berupaya membolehkan orang berkomunikasi dengan mudah untuk berkongsi masalah dan tekanan hidup yang dihadapi, malah tanpa perlu pengenalan diri.

Jika berupaya mewujudkan rangkaian secara talian di institusi agama, banyak usaha boleh dilakukan secara bersama, mengoptimumkan tenaga yang ada dan dapat membantu masyarakat untuk memanfaatkannya ketika berhadapan dengan situasi hidup yang dilalui sekarang ini, malah juga aktiviti ekonomi, bimbingan pelajaran dan khidmat kaunseling.

Melengkapkan institusi agama dengan kemudahan rangkaian dan talian seperti ini juga sesuai dengan wujudnya pelbagai kemudahan talian sosial yang ada, yang malangnya bagi sesetengah pihak menganggapnya sebagai dosa, tetapi sepatutnya dimanfaatkan untuk faedah umat seluruhnya. Soal penyalahgunaan apa jua kemudahan yang ada bukan alasan untuk menolak teknologi yang ada, sebaliknya proses pendidikan yang berterusan akan membantu untuk menjadikannya sebagai satu medium sosial yang amat menarik dan berkesan.

Institusi agama yang mempunyai banyak pendapatan (daripada aktiviti ekonomi seperti bazar Ramadan) atau sumbangan amal oleh korporat besar berupaya melengkapkan kemudahan yang ada untuk menjadikan institusi agama sebagai yang tercanggih dan hebat dengan prasarananya, bukan sekadar membeli jam yang mahal sebagai hiasan dinding atau sesetengah kemudahan yang tidak terurus. Kawasan yang ada, termasuk anjungnya dan persekitaran boleh dibangunkan dengan aktiviti yang memberi faedah kepada masyarakat, termasuk untuk tujuan komersial.

Dalam konteks sama, institusi agama wajar memanfaatkan apa jua hasil penyelidikan saintifik yang dilakukan di pelbagai institusi termasuk universiti untuk melaksanakan usaha ini. Hasil penyelidikan dalam mengenal pasti kehadiran unsur haram dalam makanan seperti babi sudah sedia ada dan boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat. Begitu juga perisian faraid dan telesidang yang boleh digunakan secara meluas untuk tujuan membantu masyarakat. Menggemblengkan kepakaran seperti ini juga akan menambahkan bilangan mereka yang boleh mendekati institusi agama, sekali gus meningkatkan jaringan yang ada secara jangka panjang.

Paling penting usaha ini perlu dilakukan dengan penuh tulus ikhlas untuk agama dan menunaikan amanah yang ada. Keikhlasan bahawa usaha ini untuk menyelamat ummah, tanpa ada sikap buruk sangka dan putus asa akan banyak membantu menghadapi masalah yang ada. Ini juga dapat mengelakkan daripada menggunakan institusi agama untuk kepentingan dan kelompok tertentu. Jika misalnya masjid dan surau yang ada hampir di setiap kampung di negara kita dapat diuruskan secara profesional, cekap dan berkesan tentunya banyak usaha boleh dilakukan bersama setiap anggota masyarakat yang ada.

Malangnya, dalam banyak keadaan, mereka yang dianggap beragama dilihat sebagai menjauhkan diri daripada golongan ini. Institusi agama dikatakan lebih banyak menghukum daripada berusaha untuk mendekati dan memahami masalah yang timbul dan diperlukan hanya ritual dan ibadah khusus semata-mata. Kita enggan menerima hakikat bahawa masalah dan kesilapan dalam memilih jalan yang dianggap ‘betul’ boleh berlaku kepada sesiapa saja, malah juga dalam kalangan mereka yang hebat ilmu agamanya sekali pun.


Penulis ialah Timbalan Pendaftar Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang

Berita Harian Online | Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...