Friday, 24 September 2010

Berita Harian Online | Agihan AS 1Malaysia 6.38 sen

Agihan AS 1Malaysia 6.38 sen
Oleh Shahrizan Salian

2010/09/24

ASNB jangka dana mampu raih pulangan berdaya saing

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sulung 6.38 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) dan menjangka mampu terus memberikan pulangan yang berdaya saing kepada pelaburnya pada masa depan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, AS 1Malaysia mampu memberikan pulangan yang konsisten pada masa depan berdasarkan prestasi cemerlang dana unit amanah berharga tetap lain yang diuruskan ASNB yang lebih baik daripada penanda aras yang digunakan.

Ketika AS 1Malaysia dilancarkan ada pihak mempertikaikan mengapa kita menggunakan Bon Kerajaan Malaysia (MGS) 5-tahun sebagai penanda aras dan bukannya kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR).
Bagaimanapun dividen sulung yang diumumkan ini menggambarkan dana ini mengatasi prestasi penanda aras semasa dan setimpal untuk mendapatkan pulangan yang berdaya saing seperti dana lain, katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pengagihan pendapatan AS 1 Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010 itu di Kuala Lumpur, semalam.

Agihan pendapatan bagi dana amanah berharga tetap untuk semua kaum yang dilancarkan pada 5 Ogos tahun lalu itu diumumkan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah berkata, sejak dilancarkan, AS 1Malaysia menerima sambutan amat baik daripada pelabur walaupun masih terdapat unit untuk Bumiputera dan India yang masih belum dilanggan.

Bagaimanapun, katanya PNB tidak berhasrat membuka kuota unit yang masih belum dilanggan itu kerana melihat arah aliran kukuh peningkatan penyertaan Bumiputera dari semasa ke semasa.
Secara purata, kita menerima RM30 juta daripada pelabur Bumiputera setiap bulan. Sehingga akhir tahun lalu jumlah pelaburan Bumiputera untuk AS 1Malaysia ialah RM82 juta tetapi sekarang ia mencecah RM507 juta, katanya.

Beliau berkata, berdasarkan potensi yang ditunjukkan oleh dana amanah itu pada tahun pertama, PNB yakin kuota unit untuk Bumiputera akan terus mendapat sambutan baik dalam tempoh terdekat.

AS 1Malaysia, dana bersaiz RM10 bilion yang dijual pada RM1 seunit dibuka kepada warga negara berumur 18 tahun ke atas dengan peruntukan 50 peratus kepada Bumiputera, 30 peratus kepada kaum Cina, 15 peratus kepada kaum India dan selebihnya kaum lain.

Berita Harian Online | Agihan AS 1Malaysia 6.38 sen

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...