Saturday, 10 July 2010

KISAHKU YANG AMAT PERIBADI

Oleh : Hussin Bin Sarif

(Walaupun agak berkias tapi dalam maknanya)

Aku, aku, kelu lidahku untuk menceritakan lipatan kesumaku. Apakah aku pasti
kuat untuk lontarkan cerita ini. Cerita kegagalan dan kehampaan. Aku tahu
orang suka menatap cerita kecundangan orang lain. Atau mereka puas kerana
ada insan yang kecewa, mengalah, jatuh dan menderita. TAPI akhirnya aku
tahu, aku perlu rasa bangga kerana kegagalan. Kegagalan menjadi begitu
nikmat untuk aku ceritakan. Begini mulanya. Aku ini seorang yang sentiasa
meminati alam persekolahan, hingga aku terlupa bahawa aku perlu remaja, muda
dan dewasa. Aku lupa bahawa manusia ini ada perasaan. Ada kemahuan.
Mungkin juga aku ni terdidik dalam keluarga yang agak konservatif. Semuanya
berperaturan. Umpama burung dalam sangkar, dijaga, dibela, disayangi tapi
terbelenggu dirinya.

Apabila aku menjejakkan kakiku ke Maktab Perguruan, aku masih berperangai
lama. Aku sentiasa dengan duniaku. Ulat buku. Dunia yang amat membosankan
bagi sesetengah orang tapi bukan bagiku. Episod di alam fantasi menjadikan aku
kaku, membisu, rasa malu, menatap kedaifan diri, berteleku di hadapan Ilahi.
Apakah aku seorang musafir terlantar di gurun gersang, ataupun seorang fakir
kehausan di bawah curahan air mata. Aku tetap aku, yang egois, yang tak
pernah tahu erti kekecewaan. Dalam hidupku aku mungkin tak pernah tahu ada
insan yang mencintaiku, kerna aku ini insan jujur yang mendambakan kasih yang
entah bila kan menjelma. Apakah aku umpama ombak yang sentiasa terdampar
di pantai, Apakah aku hanya seorang kelana yang telantar di jalanan. Ataupun
aku seorang pengemis yang sentiasa menadah simpati. Dia seorang gadis yang
memang sukar untuk meluahkan madah cinta, Cuma aku yang ternanti-nanti
anyaman madah yang boleh melenakan impian. Aku tidak tahu apakah aku
tersilap laluan, ataupun aku sendiri gagal membaca irama kagu syahdu yang
didendangkan. Aku seperti termangu-mangu, cahaya terang menyilaukan mata,
tapi akhirnya aku faham, irama yang didendangkannya. Tapi dia tidak setia, aku
cuma menjadi insan yang dikecewakan.

Aku mula menjauhkan naluriku daripada dunia yang sepi, umpama malam mula
berbintang, umpama siang yang terang dan cemerlang, Aku mula bebas
daripada dakapan keluarga, aku mula memahami erti hidup bersendirian.
Hidupku mula memahami erti cabaran dan dugaan apabila aku mula bertugas
sebagai seorang guru di SK Felda Kahang Barat, Kluang. Aku tahu aku akan
mula meninggalkan keluarga tercinta kerana menduduki rumah felda yang
dijadikan kauters guru. Aku begitu sunyi kerna terpaksa duduk seorang diri, nun
jauh di hujung hutan. Sekolah sementara itu terletak jauh dari petempatan felda.
Waktu malam aku duduk bersendirian sambil memetik sebuah gitar. Aku
umpama seorang seniman hebat mengukir irama lagu. Bagiku, akulah wira
mampu melagukan irama syahdu, gemersik bunyinya.

Dari celah-celah dinding rumah felda tu, aku tahu irama lagu merduku semakin
gemersik, menghambat kesunyian malam. Mungkin aku tersalah sangka bahawa
aku hanyalah seorang yang amat malang, bersendirian di tengah-tengah
kegelapan malam. Lagu apa yang aku nyanyikan pun aku tidak tahu.
Mendayu-dayu sekali iramanya. Aku menjadi seorang seniman malam. Lagu
kucipta lagu meruntun jiwa, menjadi gamitan seorang gadis, Kartini namanya.
Begitu ayu tuturnya, malu-malu langkahnya. Umpama seorang puteri keluar ke
taman. Aku tahu puteri ini meminati aku. Aku menjadi insan yang memuji-muji
kecantikan, dan keindahan . Jiwaku menjadi segar, Kekeringan dan ketandusan
mula digenangi air hujan. Aku umpama Sang Rajunatapa berjaya menemui
bunga Bakawali. Aku agungkan cintanya, Si Juliet yang manis, dan romantis
sekali. Hari-hari berlalu, sentiasa dihembusi alunan angin yang lembut dan
gemersik sekali. Tapi akhirnya kehampaan jua kutemui. Dia duduk berdakapan
mesra dikehenigan malam tanpa perasaan, memusnahkan impianku. Aku buang
jauh-jauh impianku itu. Hampa. Aku benci sekali. Hidupku musnah dan hampa
kerna seorang insan bernama wanita. Aku benci diriku kerna sentiasa membawa
kemurungan dan kegagalan. Tamat satu llagi episod dalam hidupku yang
sentiasa menjadi seorang pengemis cinta.
.
Aku selalu memikirkan diriku sebagai seorang protagonis. Aku ingin menjadi
seperti seorang perwira yang perkasa, yang agung yang selalu didambakan oleh
sang wirawati. Tapi apalah malang nasibku, aku hanya seorang insan yang
lemah, tak berdaya mengangkat dan mendongakkan muka menatap keindahan
sang purnama memancarkan cahayanya pada waktu malam. Apakah aku
seorang penyair yang sering terlupa liriknya, ataupun seorang petapa yang gagal
menghadapi rintangan dan dugaan. Aku tahu aku hanyalah seorang insan yang
terhina, kerana kekerdilannya. Apakah dayaku untuk bangun menjadi agung,
perkasa dan ada maruah diri. Aku tahu aku bukan insan yang lemah. Aku boleh
menjadi hebat kalau aku percaya kepada diri. Aku perlu kuatkan semangat
bahawa aku boleh hidup seribu tahun lagi.

Aku terus menyanyikan lagu kehampaan, apabila aku mula bertugas di mana, tak
perlu aku beritahu mungkin. Aku mengenali seorang gadis yang pada fikiranku
amat cantik, manis dan amat menepati kehebatan seorang wanita. Tapi aku
tidak faham, dia pergi tanpa memberitahu aku apakah sebabnya. Biarlah
mungkin dia tidak menyukai diriku, atau mungkin dia hanya menghormati diriku.
Pedih sungguh hati ini, dikecewakan, dihina dan dihampakan. Biarlah dia pergi
walaupun dengan menghampakan seorang insan lain.

Kehidupan ini, menjadi lebih bermakna apabila aku mula mengenali erti cinta.
Perasaan mencintai dan dicintai, umpama bumi gersang disirami hujan, aku
bahagia kerana berakhirnya suasana kemurungan seribu tahun dan menjelma
zaman kesyahduan, hebatnya dunia ini kerna kesudian sang mentari
memancarkan cahaya kepada alam ciptaan tuhan ini. Aku umpama Seri Rama
bertemu dengan Sang Sita, umpama Si Majnun menemui Si Lala, berdakapan
penuh mesra, mengimbau kembali kekeringan rasa cinta dan sayang
terhapusnya rasa rindu dan dendam kerana menemui kekasih hati. Aku
mengenali permaisuriku. Dia seorang insan yang baik, manis dan mesra sekali.
Walaupun pada awalnya agak sukar untuk meneruskan episod cinta itu. Tapi
kerana aku rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan dia daripada
sandiwara hidup dunia ini. Keluarganya berantakan. Dia seorang insan malang,
yang memerlukan seorang wira dalam hatinya. Walaupun banyak kelemahan
dan kekurangannya tapi Itulah dia permaisuriku, yang kucintai. Walaupun ada
kalanya aku sukar memikirkannya, tapi itulah sebenarnya hadiah ilahi kepadaku.
Aku harus tunaikankan amanat ini, kerana aku percaya untuk menjadi insan
cemerlang aku perlu berjaya mengatasi dugaan ini. Tiada madah dapat digubal,
tiada kata dapat kususun, tiada irama dapat kulagukan, tapi aku tahu rasa cintaku
amat mendalam, Cuma mungkin aku gagal untuk mempamerkannya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...