Friday, 30 July 2010

bharian: Korea sedia kongsi kepakaran

2010/07/29
KOREA SELATAN menyambut baik hasrat Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam pendidikan dan bersedia berkongsi kejayaan negara republik itu dalam bidang berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sokongan itu dinyatakan Perdana Menteri Ko rea Selatan, Chung Un-chan dalam satu pertemuan ketika beliau melakukan kunjungan hormat di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Pusat di Seoul, semalam.

Pada pertemuan itu, katanya, beliau menyatakan hasrat Malaysia untuk meningkatkan hubungan pendidikan dengan Korea Selatan terutama membabitkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, katanya, Malaysia berminat menjalinkan kerjasama dalam pembangunan kurikulum, pendidikan guru, pembangunan vokasional dan teknikal serta sukan di sekolah.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai pendidikan akan dirangka bersama oleh pegawai kedua-dua negara tidak lama lagi.

Kita harap memorandum ini dapat disiapkan sebelum lawatan Presiden Korea Selatan (Lee Myung-bak) ke Malaysia pada penghujung tahun ini. Ia bakal menjadi mercu tanda baru bagi kedua-dua negara, katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam satu lawatan ke sebuah institut di sini sebelum ini, beliau berpeluang melihat dengan mendalam bagaimana jaringan komputer dinamakan National Education Information System (NEIS) menghubungkan semua sekolah di negara ini.
Katanya, jaringan itu membolehkan ibu memantau perkembangan anak di sekolah serta berhubung dengan guru menerusi internet.

NEIS dibangunkan oleh Korean Education and Research Information Service (KERIS), iaitu organisasi di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Korea Selatan.

Muhyiddin berkata, pada pertemuan dengan Chung, beliau turut menyampaikan penghargaan Malaysia kepada Korea Selatan kerana membolehkan 60 penuntut negara melanjutkan pengajian kursus kejuruteraan setiap tahun menerusi program Dasar Pandang Ke Timur.

Korea Selatan turut memberikan biasiswa kerajaan kepada penuntut cemerlang Malaysia di sini selain kini membuka peluang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).


Sehingga kini, seramai 800 pelajar sudah menamatkan pengajian mereka di negara ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...