Wednesday, 19 May 2010

Peningkatan nilai ringgit manfaatkan negara: PM

Oleh Norfatimah Ahmad dan Kamarulzaidi Kamis
bhbiz@bharian.com.my

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/18)

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Mr. Lafferty dari One Lyric Square London, sambil diperhati Gabnor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar (tiga dari kanan), Pengerusi Bersama Forum Institusi Monetari dan Kewangan Rasmi (OMFIF), David Marsh (kanan) dan Pengerusi OMFIF, Meghnad Desai (kiri), pada OMFIF di Lanai Kijang, Bank Negara, semalam. - Foto Salim Shaari
Prestasi mata wang selaras pengukuhan asas ekonomi

KENAIKAN nilai ringgit yang dianggap sebagai mata wang Asia berprestasi terbaik tahun ini, adalah selaras dengan pengukuhan asas ekonomi dan memberi manfaat kepada negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pergerakan ringgit adalah positif. Peningkatan itu adalah semula jadi yang mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh. Ia adalah baik untuk negara dan secara umumnya baik untuk kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas merasmikan Forum Institusi Monetari dan Kewangan Rasmi (OMFIF) di Kuala Lumpur semalam. Hadir sama Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Ringgit muncul sebagai mata wang Asia paling kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih empat bulan tahun ini dengan mencatatkan peningkatan lebih tujuh peratus.

Jumaat lalu, ringgit mencatat paras tertinggi dalam tempoh dua tahun lalu iaitu pada kadar RM3.176 berbanding AS$1 pada 26 April lalu. Ia ditutup pada 3.184 berbanding AS$1, Jumaat lalu.

Penganalisis pasaran secara umumnya berpendapat, kenaikan mata wang tempatan itu berikutan jangkaan prospek pertumbuhan kukuh ekonomi negara yang semakin kukuh.
Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Illias, berkata pengukuhan peningkatan nilai ringgit disebabkan prestasi ekonomi negara di luar jangkaan.

“Ekonomi Malaysia kembali melonjak mulai suku keempat tahun lalu apabila Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang pada kadar 4.5 peratus, kemudian menyebabkan pertumbuhan keseluruhan tahun ini disemak semula ke paras antara 4.5 hingga 5.0 peratus.

“Bank pelaburan dan broker luar negara pula masing-masing menyemak semula unjuran ekonomi Malaysia kepada kadar yang lebih tinggi sehingga melebihi tujuh peratus,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini berkembang pada kadar 10.1 peratus, tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Pencapaian itu, sekali gus, mengukuhkan jangkaan bahawa ekonomi negara kini kembali berada dalam aliran pertumbuhan setelah menguncup dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu susulan kesan negatif krisis kewangan global.

Pada masa sama, kata Suhaimi, turut menyumbang terhadap kenaikan mata wang tempatan adalah langkah Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman di dalam negara.

“Langkah Bank Negara itu meletakkan Malaysia dalam kumpulan negara Asia Pasifik terawal menaikkan kadar faedah, selain Australia dan India.

“Susulan itu, berlaku pengaliran masuk dana asing ke negara ini khususnya dalam pembelian Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), susulan peluang meraih keuntungan berganda iaitu menerusi pulangan pelaburan lebih tinggi serta keuntungan daripada kenaikan nilai ringgit,” jelas beliau.

Khamis lalu, Bank Negara menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 2.5 peratus iaitu kenaikan kali kedua pada kadar sama tahun ini, dalam usahanya untuk mengembalikannya ke paras wajar selepas pengurangan drastik dibuat tahun lalu untuk menampan kesan kegawatan global.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...