Wednesday, 19 May 2010

Keputusan aktiviti ekonomi ambil kira kesan alam sekitar

(Sumber dari Berita Harian, 2010/05/18)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap keputusan dan aktiviti ekonomi yang akan dibuat pada masa depan harus mengambil kira kesannya ke atas alam sekitar.

Berikutan itu, katanya, Dasar Teknologi Hijau Malaysia telah dibentuk dengan matlamat menggunakan teknologi secara lebih baik dan cekap, bagi menyokong pemeliharaan alam sekitar.

“Kita menyedari keperluan di samping memacu pertumbuhan ekonomi, kita juga perlu ‘menghijaukan’ ekonomi,” katanya ketika berucap pada mesyuarat sulung Forum Institusi Kewangan dan Monetari (OMFIF) di Kuala Lumpur, Semalam.

Perdana Menteri menambah, kerajaan melihat teknologi hijau memiliki kesan berkembar dalam memacu pertumbuhan ekonomi, selain menangani isu alam sekitar.
Katanya, teknologi hijau boleh dilaksanakan secara menyeluruh di segenap sektor.

“Model Baru Ekonomi (MBE) mengenal pasti pemeliharaan sumber asli sebagai prinsip penting, selain pembiayaan bagi ‘pelaburan hijau’ dapat diperoleh,” katanya.

Teknologi hijau juga, kata Najib, selain mampu merangsang ekonomi, ia juga menawarkan peluang dalam inovasi dan mencipta kemewahan.

Sementara itu, pada peringkat Asean, Perdana Menteri berkata, usaha sedang dilaksanakan untuk mengurangkan perbezaan dalam mencapai matlamat kemajuan dan pembangunan bersama.

“Sepuluh negara anggota Asean mencari jalan untuk membentuk Komuniti Ekonomi Asean iaitu bagi rantau ini sebagai rantau ekonomi yang berdaya saing, stabil dan makmur.

“Dalam usaha mewujudkan ekonomi yang lebih terangkum, kita menjangka pelaksanaan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta) pada tahun ini akan meningkatkan kelebihan daya saing Asean sebagai rantau pengeluaran tunggal,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...