Friday, 2 April 2010

PM terima banyak maklum balas positif

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menerima banyak maklum balas positif mengenai cadangan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkannya baru-baru ini, khususnya hala tuju model ekonomi negara.

“Orang ramai kini faham hala tuju, matlamat, perubahan dan transformasi yang hendak dilaksanakan dan kesudahannya. Jadi, apa yang perlu untuk kita di fasa kedua dan seterusnya ialah memberi lebih banyak maklumat, terutaman mengenai kegiatan ekonomi negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, fasa kedua dan ketiga yang mengandungi maklumat tambahan akan diumumkan secara berperingkat menjelang akhir tahun ini, termasuk bidang kegiatan ekonomi utama dan program yang bakal dilaksanakan berdasarkan tempoh ditetapkan oleh kerajaan.



"Apa yang penting, rakyat dan pasaran faham hala tuju MEB. Ini kerana banyak kerja yang perlu kita lakukan, jadi semuanya tidak boleh dijalankan serentak.

"Oleh itu, ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa dan harap ia akan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan beberapa pihak yang ingin semuanya diumumkan serentak," katanya pada sidang media selepas melancarkan portal MyPROCUREMENT-Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan, di sini semalam.

Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen kelmarin, Najib berkata, kenyataan timbalannya tidak bercanggah dengan Gagasan 1Malaysia (1Malaysia).

"Tan Sri Muhyiddin sudah menyatakan bahawa beliau komited dengan gagasan 1Malaysia dan apa yang diperkatakannya itu tidak bercanggah dengan 1Malaysia,” katanya ketika mengulas jawapan Muhyiddin terhadap kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwanya tidak senada dengan Najib berhubung gagasan 1Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...