Sunday, 18 April 2010

Kerajaan sentiasa semarak syiar Islam: TPM

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/16)

HULU SELANGOR: Kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada usaha menyemarakkan syiar Islam di negara ini, selaras usaha melahirkan umat Islam yang maju, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau berhasrat melihat Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) muncul sebagai pusat pendidikan bertaraf Kolej Universiti.



"Usaha kerajaan kita untuk menyemarakan syiar Islam dalam negara kita dan di antara yang lebih penting untuk kita memberi peluang pendidikan mengenai al-Quran...bukan saja dapat membacanya tetapi juga menghayati isi kandungannya.

"Harapan warga pendidik di sini adalah untuk melihat institusi ini meningkat kedudukannya...saya juga bersama dengan saudara berkongsi hasrat supaya untuk tempoh yang tidak agak lama, maka Darul Quran dapat diiktiraf sebagai kolej ataupun universiti," katanya ketika berucap pada pertemuan dengan warga Darul Quran di sini, petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



Muhyiddin berkata, selaras kemajuan negara yang pesat dan diktiraf negara Islam lain sebagai negara maju, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Ini kerana kemajuan dalam ilmu pendidikan penting bagi umat Islam untuk menghadapi persaingan di peringkat global dan kemajuan fizikal tidak membawa makna tanpa ilmu pengetahuan," katanya.

Darul Quran yang berada di bawah seliaan Jakim membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi bagi membiayai program di pusat pengajian itu dan sebanyak RM3 juta pula diperuntukan sebagai biasiswa.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...