Tuesday, 27 April 2010

bharian: Strategi Bank Dunia disokong

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my

(Sumber Berita Harian, 2010/04/27)

Malaysia yakin organisasi boleh kekalkan kestabilan ekonomi global

MALAYSIA sebagai wakil negara Asia Tenggara yang mengundi pada mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia di Washington yang berakhir kelmarin, meminta organisasi itu terus memainkan peranan dalam mengekalkan kestabilan ekonomi global terutama selepas krisis.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata langkah itu perlu memandangkan kesan krisis ekonomi global baru-baru ini akan terus dirasai kebanyakan negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.



Beliau berkata, kesan itu termasuk peningkatan dalam kadar kemiskinan dan pengangguran, penurunan aliran kewangan dan tekanan fiskal lebih membebankan yang akan dirasai kebanyakan kerajaan yang melaksanakan pakej rang-sangan bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi itu.

“Kami menyokong strategi selepas krisis yang dilaksanakan Bank Dunia kerana bertepatan dengan mandat yang diberikan kepadanya. Dalam tempoh mendatang, kami berharap dapat melihat pelaksanaan lebih banyak pelan tindakan konkrit, mempunyai tempoh masa yang jelas bagi pelaksanaannya dan ukuran kejayaannya,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Musim Luruh Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia ke-81 di Washington, kelmarin.

Malaysia mewakili kumpulan mengundi negara Asia Tenggara terdiri daripada Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam.

Ahmad Husni berkata, Bank Dunia juga perlu mengukuhkan semula kedudukan kewangannya supaya dapat terus melaksanakan mandatnya dengan berkesan setelah ia melaksanakan beberapa komitmen kewangan semasa krisis kewangan global yang baru lalu.

Katanya, komitmen kewangan yang telah dilakukan bank itu akan menyebabkannya berdepan halangan dari segi keupayaan kewangan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMFC) sehari sebelum itu, Ahmad Husni berkata, negara Asia Tenggara menggesa IMF terus mengambil pendekatan fleksibel dan pragmatik dalam menasihati negara anggota kaedah terbaik mengekalkan pemulihan ekonomi masing-masing selepas krisis.

“Kami meminta IMF bersama dengan institusi lain seperti Lembaga Kestabilan Kewangan dan Lembaga Kestabilan Kewangan Islam bekerjasama dengan pengawal selia di pusat kewangan utama dunia ke arah mempercepatkan langkah mempertahankan kestabilan kewangan global,” katanya.

Kedua-dua mesyuarat IMF dan Bank Dunia di Washington itu adalah yang pertama selepas berakhirnya krisis kewangan global.



Selain mewakili kumpulan mengundi pada mesyuarat Bank Dunia dan IMFC itu, Ahmad Husni turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kumpulan G20 yang mana beliau telah menyuarakan pandangan Malaysia mengenai G20 sebelum Sidang Kemuncak pertubuhan itu di Korea, November ini.

Semalam, beliau mengadakan persidangan meja bulat bertemakan Model Ekonomi Baru Malaysia yang dihadiri pakar kewangan Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Iran dan Mesir serta lain-lain pegawai kanan Bank Dunia berhubung cadangan Bank Dunia menubuhkan dana “Green Fund” berlandaskan syariah bernilai
AS$200 juta (RM640 juta) untuk Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...