Tuesday, 27 April 2010

bharian: Pertumbuhan ekonomi China wajar direbut: TPM

Oleh Zainab Mohd Yatim, Syuhada Choo Abdullah dan Ahmad Fiesal Othman
bhbiz@bharian.com.my

(Sumber Berita Harian, 2010/04/27)

Firma kena ketepi rasa bimbang kemasukan produk negara itu

SYARIKAT tempatan perlu bijak mengambil peluang daripada pertumbuhan ekonomi China serta Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean dengan negara itu dan bukan menganggapnya sebagai tekanan ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan, syarikat tempatan seharusnya mempunyai wawasan lebih jauh dengan melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk bermutu dan berdaya saing untuk dipasarkan ke China dan mengetepikan rasa bimbang dengan ancaman produk negara itu yang kini banyak menguasai pasaran.

“Kini terdapat banyak permintaan daripada syarikat tempatan mendapatkan perlindungan daripada persaingan dengan China. Namun perlindungan bukannya penyelesaian terbaik kepada masalah itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) bertajuk ‘China Yang Kuat: Implikasi dan Cabaran’ di Kuala Lumpur, semalam.



Muhyiddin berkata, langkah memberi perlindungan kepada industri bukan saja tidak menggalakkan pihak terbabit berusaha meningkatkan R&D bagi menghasilkan produk lebih bermutu dan berdaya saing tetapi juga akan menggalakkan kepada kebergantungan terhadap pertolongan dan bantuan kerajaan.

Beliau berkata, persaingan dengan China kini bukan saja di peringkat rantaian pengeluaran produk murah yang mana negara itu mempunyai kelebihan dari segi kos buruh tetapi juga membabitkan produk bernilai tinggi.

“Saya amat sedar bahawa China menghadirkan banyak tekanan ekonomi bukan saja kepada Malaysia, tetapi juga negara lain di rantau ini, malah negara maju juga turut merasai tekanannya.

“Justeru, syarikat di negara ini perlu mengambil dan menggunakan peluang sebaiknya daripada perkembangan ekonomi China dan FTA Asean-China itu untuk memasarkan produk mereka ke negara terbabit dan hanya menerusinya, barulah integrasi ekonomi yang sebenar boleh berlaku,” katanya.

Muhyiddin berkata, FTA Asean-China sudah menyaksikan Asean dan China kini menjadi semakin saling bergantung ekoran peningkatan perdagangan yang ketara sejak beberapa tahun lalu.



Beliau berkata, bagi tempoh 2003 hingga 2008 saja, purata pertumbuhan perdagangan antara Asean dan China adalah sebanyak 26.4 peratus yang mana pada 2008 saja jumlahnya adalah sebanyak AS$192 bilion.

“Untuk tempoh yang singkat, China telah muncul sebagai rakan dagangan ketiga terbesar Asean, mewakili kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan perdagangan global Asean,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...