Sunday, 4 April 2010

bharian: Pengurusan cekap, mesra tampil banyak idea inovatif

Oleh Md. Shukri Shuib

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

ESOK, genap setahun Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Sikapnya yang dinamik dengan daya pengurusan negara yang cekap, mampu menampilkan banyak idea inovatif kepada negara meskipun baru 12 bulan menerajui kepemimpinan negara.

Seawal usia pentadbiran itu, pelbagai langkah strategik diumumkan Najib dengan natijah bagi memastikan survival negara tetap utuh merangkumi elemen politik, ekonomi dan sosial.

Signifikannya, ada dua inovasi utama dalam pentadbiran awal Najib sebagai Perdana Menteri yang menunjukkan betapa berwawasan dan prihatinnya beliau terhadap persekitaran negara.



Dua agenda besar Najib yang menjadi kayu ukurnya ialah konsep 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Dua elemen utama ini dimasukkan Najib sebagai empat tonggak utama agenda perubahan kerajaan yang diibaratkan sebuah ‘kerusi’.

Kestabilan ‘kerusi’ itu bergantung pula kepada kekuatan keempat-empat kaki kerusi terbabit, termasuk dua agenda ekonomi bersifat jangka panjang yang dirangka di bawah kepemimpinannya merangkumi Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Semestinya dua asas ekonomi dalam pentadbiran Najib itu akan turut sama mengambil kira konsep 1Malaysia dan PTK yang dicetus dan dilaksanakan Najib. Bagi Najib dasar ‘Rakyat Didahulukan’ yang diperkenalkannya, adalah satu pendekatan yang mahu memperlihatkan bahawa kerajaan sekarang ‘untuk rakyat dan kerana rakyat’.

Selain itu juga pada awal pengenalan beliau sebagai Perdana Menteri, dan bagi meredakan kegelisahan dan provokasi politik yang ditimbulkan pembangkang, Najib mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta menarik kembali larangan penggantungan akhbar pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang baru.

Selain itu, langkah membina kerajaan yang mesra rakyat di bawah azam 1Malaysia, bertemakan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, sekali gus berjaya menyemaikan budaya dan konsep kerja bersifat ‘tinjauan mesra’ iaitu dengan turun padang berjalan dan menemui orang ramai bagi meninjau sendiri permasalahan rakyat.

Nescaya, tinjauan mesra Najib dilakukan sendiri di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields bagi meninjau kehidupan masyarakat bawahan.



Dalam masa setahun, pelbagai kawasan ceruk desa dan bandar termasuk universiti dan LRT dikunjungi mesra oleh Najib. Inilah semangat baru pimpinan Malaysia.
Kini, Najib adalah ‘permata’ negara. Denyut nadi Najib dalam pembikinan negara yang bersepadu dan stabil dilihat jelas kewibawaannya, apatah lagi dengan menjelangnya usia setahun pentadbirannya.

Ketika Najib terus berjuang membela nasib rakyat dan bekerja siang dan malam, satu persatu pula belang dan fitnah besar pihak tertentu terhadap beliau dan keluarganya terdedah, dan ini membuktikan kebenaran tulus ikhlas Najib dalam survival politiknya dilindungi Allah SWT.

Untuk itulah, segenap dokongan usaha serta kesetiaannya luhur harus dijanakan rakyat terhadap kepemimpinan berperadaban murni ini.

Ketokohan Najib sebenarnya bukan kerana nama keluarga Tun Abdul Razak Hussein, sebaliknya terbina secara kendiri dan pengalaman peribadi yang luas, sejak ‘tercampak’ ke arena politik pada usia begitu muda pada 1976 apabila bapanya itu meninggal dunia secara mengejut.

Kemenangannya tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil pada 21 Februari 1976, sejarah politiknya terus berkilauan.

Malah ketika dilantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Besar Pahang ketika usia 29 tahun pada 1982 (hingga 1986), Najib sebenarnya mengharungi hierarki politik yang panjang, sekali gus mematangkannya.

Inilah rekod cemerlang Pemuda Umno yang masih belum dapat diatasi mana-mana pemimpin seusia Najib iaitu rekod sebagai ahli legislatif termuda negara pada usia 22 tahun 7 bulan.

Pada usia 33 tahun Najib kembali ke Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1986 – 1987), yang kemudian dipecahkan portfolio kepada Menteri Belia dan Sukan (1987 – 1990), Menteri Pertahanan (1990 – 1995 dan 1999 – 2008), Menteri Pendidikan (1995 – 1999).

Najib juga sejak Januari 2004 hingga 2 April 2009, menjadi Timbalan Perdana Menteri yang setia kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...