Friday, 2 April 2010

bharian: MEB perlu pacu prestasi semua sektor

Oleh Dr Zaini Ujang

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

Tiga petunjuk dibangkit Najib mesti dijadikan parameter pemikiran, tindakan bersama

“ADAKAH kita mempunyai semangat dan keberanian untuk keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana?” Demikian soalan diajukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Persidangan Invest Malaysia 2010, Selasa lalu.

Memang ramai masih selesa dengan keupayaan Malaysia muncul model ekonomi semasa yang berjaya meletakkan kita sebagai negara paling maju di kalangan negara membangun. Hakikatnya bagi keluar daripada ‘perangkap’ berpendapatan sederhana maka polisi dan pendekatan baru lagi drastik diperlukan untuk membolehkan ekonomi negara berkembang dan lebih berdaya saing.

Sehubungan itu, Najib turut mengemukakan tiga penunjuk mengenai pembangunan Model Ekonomi Baru (MEB), iaitu berpendapatan tinggi, kemapanan dan keterangkuman. Berpendapatan tinggi bermakna upah lebih tinggi menerusi pertumbuhan modal dan produktiviti tinggi. Hal ini boleh dilakukan menerusi penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi lebih baik, penjenamaan kukuh, mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual.



Untuk itu, maka kita perlu memacu prestasi semua sektor menerusi ekonomi berasaskan pengetahuan, pelaburan teknologi baru, kemahiran tinggi, inovasi dan kreativiti, serta peningkatan kompetensi. Kita juga mengharapkan pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik melalui pembayaran upah tinggi.

Najib turut mengulas laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mengenai realiti 80 peratus tenaga kerja hanya mempunyai pendidikan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pastinya realiti ini tidak memungkinkan wujudnya ekonomi berpendapatan tinggi. Justeru pendidikan berterusan dan program latihan secara lebih menyeluruh perlu dipergiatkan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing memacu pertumbuhan.

Bagi melaksanakan MEB, Program Transformasi Ekonomi sedang dirangka menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) tertumpu kepada penyuburan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi; pembangunan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, mewujudkan ekonomi domestik berdaya saing, memperkukuhkan sektor awam, melaksanakan tindakan afirmatif telus dan mesra pasaran, membina infrastruktur berasaskan pengetahuan, meningkatkan sumber pertumbuhan dan memastikan pertumbuhan yang mapan.

Pada hemat saya, MEB dibentang Najib mempunyai semua ramuan utama dari segi gagasan, kaedah dan petunjuk untuk membolehkan Malaysia keluar daripada kepompong dan liga negara membangun. Hal ini ketara menerusi penegasan mengenai kepentingan kreativiti dan inovasi, serta peranan pendidikan berterusan membina masyarakat berpengetahuan tinggi.

Dengan kata lain, peranan sektor pendidikan, terutama institusi pengajian tinggi menjadi semakin kritikal sebagai penjana utama modal insan dan harta intelek negara. Hal ini diperteguhkan menerusi ucapan Najib ketika pelancaran Majlis Profesor Negara di Putrajaya semalam.

Persoalannya, sejauh mana rakyat boleh memahami dan menghayati aspirasi di sebalik MEB? Apakah MEB sekadar satu lagi inisiatif seorang Perdana Menteri baru untuk memahat nama dalam lembaran sejarah?

Saya yakin persoalan itu juga antara pendorong Najib meminta pandangan dan maklum balas semua pihak – menerusi petunjuk ‘keterangkuman’ – sebelum Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dirangka sepenuhnya. Proses perundingan terbuka menentukan dasar negara ini adalah suatu pembaharuan perlu kita hargai. Selama ini penentuan dasar negara hanya berlegar sekitar jemaah menteri, Dewan Rakyat, perkhidmatan awam dan kelompok pakar dalam sesuatu bidang.

Dengan demikian maka kita mengharapkan satu ketetapan bersama merangkumi semua faktor penting ke arah menjadikan Malaysia negara lebih maju dan makmur. Dalam konteks lebih luas, semua pihak mempunyai peluang turut serta memastikan wujudnya muafakat dan keterbukaan minda dalam masyarakat. Terbuka dari segi memberi dan menerima pandangan secara beradab. Sudah pasti tidak semua pandangan akan diterima pakai selepas menimbangkan hujah terbaik dan paling sesuai.



Pada hemat saya, tiga petunjuk yang dikemukakan Najib itu perlu dijadikan parameter pemikiran dan tindakan. Pastinya kita tidak mahu negara berpendapatan tinggi tetapi kos hidup juga terlalu tinggi sehingga kita terpaksa berbelanja di luar negara untuk mendapat produk dan perkhidmatan lebih murah. Kita juga tidak mahu ada pihak terpinggir daripada arus pembangunan negara sehingga perlu dibantu dengan pelbagai subsidi.

Kita juga tidak mahu nilai kemanusiaan dan budaya murni pupus di sebalik peningkatan data dan petunjuk ekonomi. Malah kita juga tidak mahu kepesatan pembangunan memudaratkan ekosistem sehingga menjadi neraka ekologi.

Bak kata Najib, ‘tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang.’


Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...