Tuesday, 27 April 2010

bharian: Kerajaan komited pulihara maruah, martabat negara

(Sumber Berita Harian, 2010/04/25)

NAJIB memberikan tepukan semangat kepada orang ramai yang hadir pada Himpunan Rakyat 1Malaysia di Taman Bunga Raya Bukit Beruntung, malam tadi. Hadir sama ialah isteri beliau, Rosmah (tengah), Muhyiddin dan isteri, Norainee (tiga kiri) serta Dr Mahathir dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat (dua kiri). Turut sama, calon BN, Kamalanathan.
Kepemimpinan berusaha gigih capai Wawasan 2020: PM

BUKIT BERUNTUNG: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memperjuangkan maruah dan martabat Malaysia untuk duduk di saf hadapan di persada antarabangsa supaya tidak diperlekehkan oleh negara lain.



Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pimpinannya juga komited memikul tanggungjawab untuk mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, usaha gigih akan terus dilaksanakan kerana maruah dan kedaulatan negara ini tidak boleh digadaikan.

“Sebab itulah saya sudah memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk memberi suntikan kepada penjanaan dan pertumbuhan negara agar kita dapat melonjakkan pendapatan negara daripada AS$7,000 hingga AS$15,000 perkapita dalam masa 10 tahun.

“Ya...kita ada banyak cabaran, pesaing baru, masalah dan kekangan tetapi kerajaan pimpinan saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai Wawasan 2020.

“Jika kita tidak mencapai sepenuhnya (Wawasan 2020), ia bukan kerana kurangnya usaha tetapi mungkin ada kekangan, faktor persekitaran, krisis dan sebagainya. Namun, kita akan komited kerana memperjuangkan maruah negara,” katanya berucap pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia bertema Legasi dan Harapan Bangsa di Taman Bunga Raya di sini, malam tadi.
Lebih 10,000 orang hadir. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Dr Mahathir serta barisan kepemimpinan BN yang lain.

Najib berkata, tindakannya bertemu pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, baru-baru ini bukanlah untuk melutut seperti yang dihebahkan, sebaliknya mahu membersihkan imej negara yang dicemari pembangkang.

Dalam pada itu, Najib berkata, mandat kemenangan yang sekiranya diberikan oleh pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini, akan memulakan detik perubahan untuk kawasan itu serta akan menghantar isyarat jelas kepada dunia bahawa agenda baru negara diterima dan mendapat sokongan padu daripada rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, walaupun beliau tidak lagi berada dalam kepemimpinan tertinggi BN, beliau masih berkeyakinan BN adalah satu-satunya gabungan parti yang dapat membela nasib rakyat berbilang kaum di negara ini.



Katanya, beliau juga melihat Najib sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, begitu komited dan sentiasa berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan kekuatan BN.

“BN tidak menjanjikan bulan, bintang dan roket tetapi perkara yang memberi manfaat kepada rakyat seperti menyediakan kemudahan lebih baik serta menjadikan negara kita dihormati,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...