Wednesday, 21 April 2010

bharian: Ibu bapa kena ambil tahu perkembangan anak di luar rumah

Oleh Sharul Zahri Ahmad
imamshahrul@yahoo.com

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/21)

MENGAPA ada yang sanggup membuang bayi? Tidakkah bayi itu harus disayangi selepas bersusah payah mengandung selama sembilan bulan. Adakah sanggup bayi yang terhasil daripada kasih sayang dua insan itu dibiarkan diratah anjing liar atau digilis kenderaan?

Manusia jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan keji dan kejam itu? Itu kata saya, kata anda dan kata kita semua apabila setiap kali berita mengenai pembuangan bayi mengisi dada akhbar dan ruangan utama berita.



Berdasarkan statistik dikeluarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Selangor berada pada kedudukan tertinggi di negara ini dengan mencatatkan kes pembuangan bayi sepanjang lima tahun kebelakangan ini, iaitu sebanyak 105 kes, manakala bagi penderaan bayi dan kanak-kanak, Selangor juga merangkul kedudukan nombor satu. Boleh diandaikan mengapa Selangor begitu galak dalam kes ini, selain menjadi tumpuan belia seluruh negara bekerja mencari rezeki, negeri ini juga mempunyai jumlah pekerja asing yang tidak sedikit bilangannya. Namun begitu di negeri lain juga mempunyai bilangan kes yang begitu membimbangkan.

Di Terengganu, walaupun hanya berlaku lima kes pembuangan bayi dan 168 kes penderaan bayi dan kanak-kanak, senario itu sudah cukup membimbangkan. Melihat masalah ini sebagai ‘iceberg’ walaupun nampak kecil tetapi sebenarnya besar. Banyak kes sampingan harus kita lihat yang menyumbang kepada peningkatan kes ini sekiranya tidak dibendung.

Oleh itu, semua pihak merayu kepada pemimpin negeri, masyarakat, ibu bapa, belia, remaja dan pelajar marilah kita sama-sama menghalang perkara ini daripada terus menjadi barah. Kepada ibu bapa, janganlah terlalu sibuk mencari harta dunia, jengoklah anak di asrama, di institusi pengajian tinggi (IPT) dan ambil tahu apa yang mereka buat.

Jangan terlalu percaya kerana kejayaan akademik saja tidak cukup untuk membina keimanan teguh yang boleh menjadi benteng kepada mereka menolak segala salah laku ini. Ketika iman kuat mungkin mereka mampu menghalang godaan syaitan. Tetapi apa yang akan berlaku tatkala iman mereka lemah?
Perlu diingatkan kepada diri sendiri dan ibu bapa, jika anak sudah menemui pasangannya walaupun ketika masih menuntut di universiti, kahwinkan saja. Jangan dibiarkan mereka keluar berdua-duaan sedangkan kita sendiri tidak mampu untuk memantaunya.

Kadangkala ada antara ibu-bapa enggan menikahkan anak mereka dengan alasan mereka perlu menghabiskan pengajian. Ada pula ibu bapa yang berkata adik beradik mereka sebelum ini semuanya menghabiskan pelajaran dulu baru berkahwin.

Malah ada ibu bapa memberi pandangan negatif dengan mengatakan ‘sudah terlalu gatal atau miang’. Ibu bapa tidak mahu dicemuh masyarakat kerana anak mereka berkahwin dalam usia muda ketika sedang belajar. Inilah akibatnya terlalu memegang adat daripada hukum tuhan yang wajib kita ikut.

Apalah ertinya segulung diploma atau ijazah sekiranya anak itu menconteng arang ke muka kedua ibu bapanya. Apalah ertinya kepandaian dan kebijaksanaan tetapi membuat perkara yang dilarang agama. Jangan bimbang dengan rezeki sekiranya anak itu dikahwinkan ketika sedang belajar. Selagi masih bernyawa dan beriman serta bertakwa insya-Allah rezeki kita dijamin oleh Allah.



Jika mereka tidak mampu, sama-samalah membantu mereka dari segi kewangan.
Percayalah tanggungjawab berkeluarga itu akan membuatkan mereka lebih matang dan tahu tujuan dan matlamat mereka dihidupkan ke dunia ini. Semoga kita dapat sama-sama bertemu Allah SWT di syurga, Amin.


Penulis ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Pengurusan Masjid), Pejabat Kadi Daerah Mersing

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...