Sunday, 4 April 2010

bharian: Cendekiawan digembleng perkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negara

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/02)

PELANCARAN Majlis Profesor Negara (MPN) oleh Datuk Seri Najib Razak, semalam menyerlahkan satu lagi inisiatif segar dalam jentera kerajaan, selari rentak kepemimpinan Perdana Menteri yang mahu kepakaran kumpulan pemikir dan cendekiawan elit itu digembleng serta digerak secara strategik bagi memperkukuh asas penggubalan dasar dan pelaksanaan agenda pembangunan negara.

Penubuhannya yang julung kali di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sebagai sekretariat tetap, membuktikan pengiktirafan dan perakuan kerajaan terhadap peri pentingnya peranan golongan ilmuwan untuk menyumbang input kepakaran dari segi akademik serta profesional dalam 13 kluster bidang yang dikenal pasti kritikal.

Kluster berkenaan ialah Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam; Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Ekonomi dan Kewangan; Politik, Keselamatan dan Hal-Ehwal Antarabangsa; Warisan dan Sosiobudaya; Sains dan Matematik; Teknologi dan Kejuruteraan; Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kesihatan dan Perubatan; Industri dan Inovasi; Pertanian dan Keselamatan Makanan; Pembangunan Wilayah; serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.



MPN akan melaksanakan kegiatan berimpak tinggi membabitkan geran bernilai jutaan ringgit dalam tiga fungsi khusus, iaitu membantu penggubalan dasar kerajaan, aktiviti pembangunan ilmiah serta advokasi sosial.

Ketika ini, seramai 1,426 atau 6.3 peratus daripada 22,500 pegawai akademik di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara berjawatan profesor yang secara umum boleh dibahagikan kepada lima bidang kepakaran utama meliputi sains dan teknologi (451), sains sosial (412), kejuruteraan dan pembuatan (321), ekonomi dan pengurusan (157) serta sains perubatan dan kesihatan (85).

Bagi menentukan MPN benar-benar mencapai matlamat penubuhannya, Penasihat Sains kepada kerajaan, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid, diberi penghor-matan dan kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi pertama.

Hakikatnya Zakri bukan lagi nama asing di kalangan cendekiawan elit pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Beliau adalah Presiden Pengasas Persatuan Genetik Malaysia dan pernah mempengerusikan kumpulan petugas yang menggubal Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.
Zakri mengaku amat terharu atas kepercayaan diberikan kerajaan yang melantiknya sebagai Pengerusi MPN, suatu tugas yang disifatkannya sebagai begitu mencabar kerana dibarisi sepenuhnya oleh golongan cendekiawan elit dari seluruh negara.

“Saya penuh yakin boleh memberi sumbangan dengan baik, insya-Allah, kerana latar belakang saya yang berkecimpung hampir 30 tahun dalam alam akademia serta pengalaman saya pada peringkat nasional dan juga arena antarabangsa. Saya berada hampir 10 tahun di luar negara dan berasa terpanggil untuk kembali ke tanah air bagi mencurah bakti dengan penuh iltizam,” katanya pada pertemuan dengan media di pejabatnya di Putrajaya.

Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1992-2000) itu menegaskan, penubuhan MPN adalah idea bernas dan kena pada tempat serta masanya berikutan negara sedang menempuhi era penuh mencabar seperti dijelaskan Perdana Menteri dalam pengumuman Model Ekonomi Baru (MEB).

Sambil menjelaskan profesor adalah kumpulan yang memiliki tahap kepakaran tertinggi di universiti, malah digelar mahaguru dalam bahasa Melayu, beliau berkata, mereka memainkan tiga peranan di menara gading, iaitu melalui penyelidikan, pengajaran dan khidmat masyarakat.

Katanya, antara ikon cendekiawan elit yang unggul ialah Profesor Diraja Ungku Aziz yang amat terkenal dari segi sumbangannya dalam usaha membasmi kemiskinan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Awang Had Salleh, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Rashdan Baba dan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.



“Malah, orang yang sudah mencapai tahap unggul sebegitu boleh menyumbang sebagai penasihat kepada MPN. Begitu juga bekas profesor yang pernah berkhidmat di IPTA boleh digalakkan berperanan sebagai perunding. Perkara ini memang ada diberi pertimbangan, bagaimanapun sebarang pelantikan akan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi.

“Selain itu, kita ada memikirkan supaya pada peringkat kedua evolusi MPN nanti, profesor di IPT swasta (IPTS) yang semakin meningkat bilangannya turut dimasukkan untuk memberi sumbangan bernas. Kita akan turut cuba menarik profesor rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara untuk menganggotai MPN,” katanya.

Mempengerusikan wadah yang dipenuhi cendekiawan, tidak dinafikan wujud kemungkinan berlaku perbezaan pandangan dan idea yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri tetapi bagi Zakri dalam dunia ilmu, percanggahan pendapat tidak menjadi masalah, sebaliknya adalah fenomena yang amat dialu-alukan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...