Sunday, 4 April 2010

bharian: Bahasa Melayu teras perpaduan generasi warisan

Oleh Wan Zainon Wan Awang

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/01)

Ribuan manuskrip lama simpanan dalam dan luar negara jelaskan kepentingan, kedudukan

BERAPA ramaikah di antara kita tahu bahawa bahasa Melayu adalah satu bahasa penting di rantau Kepulauan Melayu suatu ketika dulu? Ia bukan saja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini malah ia pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad lalu.

Bahasa Melayu purba dikatakan sudah wujud di Champa pada abad ke-2 Masehi (M) dan ia terus berkembang pesat. Pada abad ke-4 Masehi, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam dan beberapa prasasti lagi ditemui di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan pada abad ke-7M.

Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu dengan bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab menandakan tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.



Bermula awal abad ke-19, orang Barat datang membawa bersama pengaruh bahasa mereka dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Dasar mereka juga menyaksikan pembukaan banyak sekolah Melayu dan peluang pembelajaran lebih meluas kepada penduduk tempatan.

Penerbitan pesat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata, istilah dan gaya penulisan baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak kukuh pada abad ini.

Sejak sebelum penjajahan British, bahasa Melayu sudah mencapai kedudukan penting dengan berfungsi sebagai bahasa perantaraan, perhubungan, pentadbiran, perundangan dan kesusasteraan. Seawal abad 16 hingga 18, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca di seluruh rantau Kepulauan Melayu. Prof Ismail Hussein dalam bukunya Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, berkata bahasa Melayu adalah satu daripada 200 bahasa dalam Kepulauan Melayu.
Kesederhanaan sifat dan bentuk bahasa Melayu itu menjadikannya mudah diterima sehingga menjadi bahasa perantaraan yang popular dan penting di rantau Kepulauan Melayu. Walaupun pelbagai ragam, dialek dan bahasa daerah digunakan oleh masyarakat setempat apabila berhubung sesama mereka, namun apabila ada keperluan berhubung dengan orang luar, satu bahasa umum digunakan iaitu bahasa Melayu.

Bahasa Melayu juga adalah bahasa kesusasteraan. Ia dibuktikan dengan penemuan hasil karya dan kesusasteraan lama seawal 1380M iaitu syair berbahasa Melayu yang terukir pada sebuah batu bersurat di Acheh. Selain itu, Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri yang dipercayai syair tertua dikarang sekitar 1606-1636, Syair Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia dan Syair Ken Tambunan.

Hukum Kanun Melaka serta Undang-undang Laut Melaka pula membuktikan bahasa Melayu juga menjadi bahasa perundangan utama di rantau ini seawal abad ke-15. Banyak lagi dokumen perundangan lain yang boleh ditemui seperti perjanjian, pajakan, pemasyhuran, surat kurnia dan juga surat akuan kebun.

Ribuan manuskrip lama bertulisan Melayu-jawi yang berada dalam simpanan institusi dalam dan luar negara dapat menjelaskan kepentingan dan kedudukan utama bahasa Melayu sejak sekian lama di rantau ini. Antaranya, surat kiriman daripada Sultan Ternate, Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh 1521 dan 1522M.

Keindahan bahasa dan gaya penulisan yang pelbagai juga tergambar dalam koleksi surat lama Raja Melayu yang berada dalam simpanan Arkib Negara. Koleksi paling terkenal ialah surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Kedah. Kumpulan surat yang mendapat pengiktirafan Unesco sebagai koleksi agung warisan dunia ini bertulisan Melayu-jawi.

Ketika penjajahan British bermula pada awal abad ke-19, kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan perantaraan diteruskan. Straits Government Gazette bertarikh 4 November 1859 menetapkan semua pegawai British yang berkhidmat di bawah kerajaan Negeri-Negeri Selat di Tanah Melayu dikehendaki lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan atau kenaikan pangkat mereka.

Mereka mestilah boleh membaca dan menterjemahkan satu petikan dari buku Sejarah Melayu dan bertutur mengenai sesuatu topik serta menulis dalam bahasa Melayu. Walaupun peraturan ini bertujuan memudahkan mereka berhubung dan memberi arahan kepada orang tempatan, setidak-tidaknya, penggunaan bahasa Melayu kekal terjamin dan kepentingannya diiktiraf.

Pada masa sama, penjajah tetap mengutamakan bahasa mereka. Bahasa Inggeris diserapkan penggunaannya dalam urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan. Tulisan Melayu-rumi yang diertikan sebagai Romanised Malay diperkenalkan dan penggunaannya juga semakin berkembang pesat dalam bidang pentadbiran dan pendidikan. Ia kian beransur menggantikan tulisan Melayu-jawi.

Selepas Perang Dunia Kedua, senario menampakkan perubahan lebih ketara. British mengubah dasar dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai penghantar dalam sistem pendidikan. Bahasa Melayu juga diguna tetapi hanya untuk pendidikan pada peringkat sekolah rendah.

Pada 1949, timbul suara-suara agar dikembalikan kedudukan bahasa Melayu.

Akhbar seperti Majlis serta banyak parti politik memainkan peranan mengutarakan isu. Gesaan juga diterima daripada Raja-Raja Melayu. Lembaga Bahasa Melayu yang ditubuhkan pada 1950 serta Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu menggerakkan usaha padu untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan.

Mulai awal 1950-an, Majlis-Majlis Negeri mengeluarkan ketetapan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Beberapa cadangan dan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dikemukakan melalui Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau Laporan Barnes, Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957.

Dewan Bahasa dan Pustaka serta Maktab Perguruan Bahasa ditubuhkan bagi memperkukuh dan memartabatkan bahasa Melayu. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, termaktublah dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penyata Rahman Talib 1960 disusuli penggubalan Akta Pelajaran 1961 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan 1967, disambut dengan Akta Pelajaran 1972 dan 1996 memperteguhkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Semua dasar, keputusan dan perundangan yang digubal ini tidak lain tidak bukan, bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sekali gus membentuk identiti kebangsaan dan jalinan erat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama yang semakin meningkat bilangannya di negara ini.

Kemurnian hasrat yang tersirat ini harus difahami dan diterima semua pihak. Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan teras perpaduan di kalangan rakyat dan juga pengikat perpaduan di antara negara serantau yang sama-sama berkongsi sejarah, budaya, seni dan peradaban bangsa.



Sebagai anak watan, kita juga seharusnya meletakkan rasa bangga terhadap bahasa kita sendiri. Jika orang luar boleh menunjukkan minat yang mendalam terhadap bahasa Melayu seperti Mubin Sheppard, R J Wilkinson, W G Shellabear, R O Winstedt, J Crawfurd, O T Dusseks dan W W Skeat yang banyak mempelajari, mengkaji dan menghasilkan buku serta penulisan mengenai bahasa Melayu, mengapa tidak kita?

Pencemaran bahasa Melayu menjadi satu lagi isu yang tidak tertangan lebih-lebih lagi dengan suasana pembelajaran kini yang bebas, tiada sempadan dan jarak. Jika dibiarkan, keindahan dan keunikan bahasa Melayu bisa lenyap ditelan arus zaman.

Justeru, kita semua harus memikul tanggungjawab mendidik dan memelihara serta lebih bertekad dan tegas dalam memperjuangkan kepentingan bahasa Melayu agar warisan dan nilai bangsa ini kekal berpanjangan. Bagi anak Melayu kini sebagai pewaris, perlu lebih peka kerana di bahu merekalah tanggungjawab menjunjung kemurnian bahasa ibunda ini bakal diletakkan. Kerana kalau tiada bahasa, lenyap jiwa bangsa.


Penulis ialah Pegawai Arkib di Arkib Negara

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...