Thursday, 11 March 2010

utusan: Tukar strategi capai Wawasan 2020 - Dr. M

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Malaysia perlu mengubah strategi pembangunan dengan mengurangkan pergantungan kepada pelaburan langsung asing (FDI) bagi mencapai Wawasan 2020, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mencadangkan Malaysia menjadi sebuah negara yang berkos tinggi atau sederhana seperti Jepun dan Korea Selatan dengan meningkatkan gaji pekerja serta membangunkan syarikat-syarikat multinasional tempatan.

''Keadaan dunia telah berubah dan sudah tiba masanya untuk berhenti bergantung kepada strategi lama iaitu kepada FDI walaupun ia telah memberi manfaat yang baik sebelum ini.

''Kerajaan sepatutnya menimbang untuk membangunkan syarikat-syarikat multinasional tempatan dengan memberikan pinjaman pada kadar faedah rendah serta mempercepatkan pengeluaran lesen yang akan memberi dua pendapatan baru kepada negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Melihat Kembali Wawasan 2020, Apa Kemajuan Selama Ini dan Apa Yang Perlu Dilaksanakan Seterusnya pada Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-14 anjuran Institut Tadbir Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Dengan strategi baru itu, katanya, kerajaan akan memperoleh pendapatan daripada pinjaman yang diberikan kepada syarikat-syarikat multinasional negara dan cukai perniagaan sebanyak 25 peratus apabila syarikat terbabit mencatatkan keuntungan.

''Wawasan 2020 mungkin tidak akan dapat dicapai pada tahun 2020 memandangkan negara berhadapan dengan dua krisis kewangan utama iaitu pada 1997 dan tahun lepas yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun.

''Wawasan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kerajaan dapat mengubah strategi bagi merangsang lebih banyak pertumbuhan ekonomi dengan membina syarikat-syarikat multinasional tempatan yang mampu membawa keuntungan balik ke Malaysia,'' katanya.

Dr. Mahathir menjelaskan, cadangan beliau itu merupakan penerusan kepada Dasar Pandang Ke Timur kerana kerajaan baru melaksanakan sebahagian sahaja dasar tersebut.

Ujar beliau, fasa kedua dasar adalah membangunkan syarikat-syarikat multinasional negara dengan bantuan kewangan kerajaan.

''Malangnya, pelaksanaan dasar itu terhenti kerana negara hanya berjaya membangunkan Proton, Perwaja dan sebuah syarikat simen di Langkawi dengan Proton dan Perwaja sahaja yang kini masih lagi milik rakyat negara ini, tetapi syarikat simen kini telah menjadi milik rakyat Perancis.

''Malaysia perlu mencontohi Jepun dan Korea Selatan yang tidak takut memberi bantuan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkembang,'' katanya.

Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir menegaskan, cadangan beliau itu tidak bermakna gaji minimum harus dilaksanakan.

Katanya, ramai yang tersalah anggap mengenai cadangan beliau sekiranya gaji sahaja dinaikkan tetapi perkara lain seperti produktiviti tidak dipertingkatkan, negara tidak akan mendapat faedah.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 30/09/2009)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...