Monday, 8 March 2010

utusan: 'Tindakan tepat ketika ekonomi tidak menentu'

KUALA LUMPUR 4 Mac - Tindakan kerajaan membatalkan subsidi minyak berperingkat-peringkat dan mengekalkannya pada harga sedia ada, disifatkan sebagai langkah terbaik dalam menangani keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, keputusan kerajaan itu sangat dialu-alukan selain tepat pada masanya.

Namun begitu, kata beliau, pemberian subsidi tersebut perlu diberi keutamaan kepada rakyat tempatan kerana ia disediakan untuk warganegara Malaysia.

''Kita tidak menghalang orang luar untuk membeli minyak tetapi perlu disertakan dengan beberapa syarat.

''Contohnya jika mereka datang ke sini untuk melancong, kita benarkan mereka beli minyak dengan harga biasa tetapi jika datang kerana mahu membeli dan menjual semula di negara mereka, itu perlu dihalang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan sistem subsidi petrol sedia ada akan dikekalkan.

Sebelum ini, kerajaan merancang untuk memperkenalkan sistem harga berperingkat bagi petrol pada 1 Mei serentak dengan pemansuhan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.

Kini harga bagi minyak RON 95 bersubsidi ialah RM1.80 seliter dan RM2.05 seliter bagi RON 97, manakala diesel dijual pada harga RM1.70 seliter.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof. Dr. Jariah Masud berkata, keputusan kerajaan untuk membatalkan pelaksanaan penstrukturan semula sistem subsidi minyak merupakan satu langkah yang baik untuk pengguna di negara ini.

"Saya mengalu-alukan keputusan yang diambil oleh kerajaan itu.

"Bagaimanapun, saya berharap ia diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya sahaja selepas ini bagi memastikan tidak ada lagi penyalahgunaan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai pemberian subsidi itu perlu diberikan kepada pengguna dari semasa ke semasa.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memastikan bahawa sistem pengangkutan awam yang terdapat di negara ini benar-benar cekap dan efisien sekiranya berhasrat untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang diberikan kepada pengguna selepas ini.

''Subsidi minyak pastinya tidak akan diberikan kepada pengguna untuk selama-lamanya,'' ujarnya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...