Thursday, 4 March 2010

utusan: Kewangan Islam cergaskan semula ekonomi

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kewangan Islam mencergaskan ikatan ekonomi dan mengukuhkan hubungan kewangan antara Asia dan Timur Tengah, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kemunculan pusat-pusat kewangan baharu di Asia dan Timur Tengah dan penyepaduannya yang semakin meningkat, menjurus kepada pewujudan 'Jalan Sutera' yang baharu serta prospek pertumbuhan, katanya.

"Ia juga membuka prospek untuk ekonomi maju menjalin hubungan kewangan yang lebih kukuh dengan rantau Asia dan Timur Tengah, yang mencatat pertumbuhan yang dinamik," katanya pada Forum Pegawai Institusi Kewangan dan Monetari (OMFIF) pada Isnin di Frankfurt, Jerman.

Teks ucapan beliau pada forum itu dikeluarkan di sini hari ini.

Kewangan Islam mempunyai kedudukan yang baik sebagai jentera di Jalan Sutera itu memandangkan infrastruktur sokongan sudah disediakan.

Beliau berkata, kerangka kerja perundangan dan kawal aturan yang ditetapkan oleh kewangan Islam juga sudah disediakan, bukan sahaja di Asia dan Timur Tengah, malah di peringkat antarabangsa.

Menerusi penubuhan badan penetap standard, IFSB (Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam) pada 2002 dan berpejabat di Malaysia, usaha untuk menguatkuasakan standard meningkat dengan ketara.

Usaha untuk mengharmonikan interpretasi Syariah dan isu-isu yang membabitkan perakuan bersama juga di peringkat akhir, kata Zeti.

Setakat ini, Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang maju dan menyeluruh, termasuk sektor perbankan dan takaful.

Pasaran wang dan modal Islam juga maju dan beroperasi selari dengan sistem konvensional, katanya.

Ia disokong dengan baik oleh kerangka kerja pemantauan dan kawal selia dan perundangan Syaiah yang menyeluruh bagi memastikan kestabilan sistem itu, katanya.

Malaysia juga melabur dalam pembangunan modal insan bagi memastikan kumpulan bakat dan pakar yang ramai bagi menyokong pembangunan kewangan Islam.

Untuk tujuan ini, Malaysia mewujudkan Pusat Pendidikan Islam Antarabangsa dalam kewangan Islam (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) bagi menyokong pendidikan dan penyelidikan canggih dalam kewangan Islam, katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 04/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...