Thursday, 25 March 2010

utusan: KDNK suku pertama lebih 4.5%

utusan: KDNK suku pertama lebih 4.5%

(Sumber dari Utusan Malaysia, 2010/03/25)

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
dan WAN NAJIB WAN DAUD
bisnes@utusan.com.my



Zeti Akhtar Aziz menunjukkan Laporan Tahunan 2009 dan Laporan Kestabilan Kewangan serta Sistem Pembayaran 2009 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Mac – Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini diunjur lebih baik berbanding suku keempat 2009.

Meskipun cuba berteka-teki, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, setakat ini petunjuk ekonomi adalah baik.

Beliau berkata, petunjuk awal menunjukkan pertumbuhan positif tinggi dalam pembiayaan dan eksport serta petunjuk-petunjuk lain yang turut merekodkan prestasi baik.

Beliau yang terus ditanya sama ada prestasi semasa itu menunjukkan ekonomi suku pertama tahun ini lebih baik, Zeti berkata: ‘‘Indikator adalah ke arah itu’’.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Taklimat Laporan Tahunan 2009 dan Laporan Kestabilan Kewangan serta Sistem Pembayaran 2009 di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia pada suku keempat mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 4.5 peratus, melepasi sasaran awal iaitu 3.4 peratus.

Sebelum itu, ekonomi negara merekodkan penguncupan sebanyak tiga kali berturut-turut pada suku pertama, kedua ketiga, masing-masing sebanyak -6.2 peratus, -3.9 peratus dan -1.2 peratus.

Pada sidang akhbar itu, Zeti menambah, bank pusat itu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Pertumbuhan itu akan disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pemulihan persekitaran luar.

Jelasnya, fundamental yang kukuh juga bakal menyediakan sokongan kepada pemulihan yang diterajui oleh sektor swasta.

‘‘Akses berterusan dalam pembiayaan akan juga memperkukuhkan pertumbuhan oleh sektor tersebut,’’ ujar beliau.

Ditanya sama ada sasaran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus tahun ini mampu dicapai, beliau berkata, ia boleh tetapi tertakluk kepada situasi ekonomi global serta disokong oleh inisiatif-inisiatif baru dan program transformasi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

Ia termasuk pendekatan baru dalam pelaburan asing (FDI) yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac ini.

Tegas beliau, FDI bukan sekadar kemasukan aliran modal tetapi institusi-institusi asing tersebut turut membawa masuk perniagaan-perniagaan baru.

Tambahnya, faktor utama meluaskan liberalisasi di negara ini adalah untuk meningkatkan rangkaian ekonomi dan kewangan di seluruh dunia dan ia bukan sekadar mengembangkan perdagangan tetapi mewujudkan aktiviti ekonomi.

‘‘Faktor-faktor ini boleh meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti, sekali gus menyokong prospek unjuran ekonomi,’’ tambah beliau.

Dalam pada itu, ekonomi global masih menghadapi risiko kelembapan dengan mengambil kira aliran kredit yang terhad dan krisis ekonomi dalam ekonomi negara-negara maju.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia mampu mengurangkan risiko kelembapan itu kerana mencatatkan peningkatan perdagangan dengan India, China dan Asia Tenggara

‘‘Walaupun (sekiranya) berlaku kelembapan dalam ekonomi di negara-negara maju, Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan, sekurang-kurangnya pada unjuran paling rendah,’’ katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...