Monday, 8 March 2010

utusan: GST untungkan rakyat 2011

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 4 Mac - Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun depan akan menguntungkan rakyat keseluruhannya kerana ia melibatkan penurunan kadar cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, pelaksanaan GST yang merupakan sistem percukaian lebih menyeluruh akan membolehkan kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan dan syarikat yang kini hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu.

"Setakat ini kita tidak menetapkan tempoh tertentu bila penurunan kadar cukai pendapatan dan korporat ini akan dimulakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Dasar Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Mengenai GST di sini hari ini.

Cukai korporat negara ketika ini adalah pada kadar 26 peratus manakala cukai individu pada paras 12 peratus untuk pendapatan antara RM35,000 hingga RM50,000 setahun.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan di negara ini sejak 1972. GST kini diterima pakai di 143 negara seluruh dunia.

Rang Undang-Undang GST dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu dan bacaan kali kedua dan ketiga dijangka pada sesi sidang bermula 15 Mac ini.

Dalam pada itu, Chee Heung berkata, kos hidup rakyat tidak meningkat dengan pelaksanaan GST kerana keperluan utama orang ramai seperti makanan dan pengangkutan akan dikecualikan daripada cukai berkenaan.

"GST juga tidak akan menyebabkan kenaikan inflasi kerana kadar yang akan dikenakan adalah empat peratus dan ini sangat rendah jika dibandingkan dengan SST sedia ada.

"Apabila GST dilaksanakan, SST akan dimansuhkan," jelasnya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pengenalan GST tidak membebankan orang ramai kerana makanan utama seperti beras, gula, minyak masak dan tepung akan diberikan pengecualian.

Mengulas isu sama, Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, pengenalan GST merupakan sebahagian daripada pembaharuan keseluruhan percukaian negara.

"Menerusi GST, kerajaan akan mempunyai gandingan perolehan lebih baik dan tidak terlalu bergantung terhadap cukai pendapatan dan petroleum," ujarnya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...