Thursday, 4 March 2010

utusan: Enakmen baru tingkat daya saing Labuan IBFC

KUALA LUMPUR 3 Mac - Daya saing Pusat Perdagangan Antarabangsa dan Kewangan Labuan (Labuan IBFC) dalam arena kewangan antarabangsa dijangka meningkat lagi berikutan pelaksanaan enakmen undang-undang baru yang mentadbir bidang kuasa itu.

Ketua Pengarah, Penguatkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Datuk Azizan Abdul Rahman berkata, Labuan IBFC sentiasa menjadi bidang kuasa yang dikawal selia baik dengan industri perkhidmatan kewangan yang rancak mematuhi parameter yang ketat.

"Perubahan ini akan meningkatkan lagi nilai cadangan Labuan IBFC," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, pengenalan rangka kerja kawal selia baru juga akan menyediakan rangka kerja yang lebih rancak, telus dan bertanggungjawab untuk Labuan FSA mengawal selia dan memantau institusi kewangan dan entiti berlesen beroperasi di bawah bidang kuasa itu.

Salah satu elemen daripada undang-undang baru adalah Labuan IBFC berfungsi lebih terbuka untuk rakyat Malaysia.

Sebelum ini, sebarang elaun untuk menggunakan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan, secara lazimnya memerlukan kelulusan spesifik untuk transaksi tertentu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc., sayap pemasaran Labuan FSA, David Kinloch.

"Rakyat Malaysia dengan aset asing atau pelabur asing dengan aset Malaysia kini boleh menstruktur pelaburan mereka menerusi Labuan IBFC.

"Elaun ini dijadikan lebih menarik dengan memperkenalkan produk pengurusan dan amanah saham baru oleh undang-undang baru itu," jelasnya.

Beliau juga berkata, dengan pertumbuhan asas aset antarabangsa yang dipegang oleh rakyat Malaysia, Labuan IBFC berkedudukan baik untuk menjadi bidang kuasa pilihan mereka untuk pengurusan kekayaan dan hartanah.

"Labuan IBFC adalah bidang kuasa yang efektif fan mesra pengguna dan peruntukan baru tersebut mampu menarik dan mengalu-alukan pelbagai pelanggan baru," ujarnya.

Undang-undang baru itu berkuat kuasa pada 11 Februari lalu dengan sejumlah empat akta baru dilaksanakan serta perubahan komprehensif dibuat untuk empat undang-undang sedia ada.

Perubahan tersebut juga menyediakan pengenalan produk-produk baru berkaitan pelaburan dan perniagaan.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 04/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...