Monday, 8 March 2010

utusan: Eksport berganda tahun ini

PETALING JAYA 2 Mac – Eksport Malaysia dijangka berkembang antara 6 dan 7 peratus pada 2010, berganda daripada unjuran awal, berikutan permintaan adalah selari dengan pemulihan ekonomi global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan eksport yang lebih tinggi perlu untuk negara mencatat unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5 hingga 6 peratus tahun ini.

“Saya yakin kita boleh mencatat pertumbuhan melebihi sasaran awal sebanyak 3.5 peratus dalam jumlah eksport tahun ini.

“Jika mahu selari dengan unjuran KDNK, kita perlu meningkatkan eksport sekurang-kurangnya 6 hingga 7 peratus, yang hampir dengan angka 7 hingga 9 peratus yang dicapai,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Eksport Nasional 2010, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi dunia akan menyumbang dalam meningkatkan permintaan untuk eksport Malaysia seperti barangan elektrik dan elektronik, perabot, produk getah serta komoditi.

Kadar pertumbuhan dalam ekonomi utama seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, dijangka pulih, namun pada kadar sederhana.

Ekonomi membangun seperti China dan India sebaliknya, terus mempertahankan kadar pertumbuhan yang tinggi, katanya.

Malaysia bangkit daripada kemelesetan dalam suku keempat 2009 dengan KDNK berkembang 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mustapa berkata, tanda-tanda menunjukkan eksport semakin memperoleh momentum, berdasarkan angka Januari dan unjuran awal 3.5 peratus yang boleh diatasi dengan mudah.

Angka Januari akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Pada 2009, eksport bernilai RM553.3 bilion, penurunan 16.6 peratus berbanding 2008.

Mustapa berkata, kerajaan akan terus mempromosi jenama Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, pada 2010, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menyertai 35 pameran perdagangan utama selain menjalankan misi pemasaran khusus ke 38 destinasi eksport di luar negara.

Selain itu, misi pelaburan dan perdagangan untuk pasaran seperti Timur Tengah, China, Eropah dan Amerika Syarikat, juga dirancang tahun ini.

“Memandangkan eksport dijangka lebih baik tahun ini, kami menjangkakan angka yang lebih baik dalam pelaburan domestik, selain pelaburan langsung asing,” katanya. – BERNAMA

(Sumber dari Utusan Malaysia, 03/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...