Monday, 8 March 2010

utusan: DAN: Banyak reaksi teknologi hijau

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima banyak maklum balas daripada para pengeluar kereta mewah berhubung lesen pengilang bagi segmen tersebut.

Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Rahman Mamat berkata, maklum balas itu diterima dari kalangan syarikat multinasional yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang insentif yang ditawarkan dalam Dasar Automotif Nasional (DAN).

''Mereka yang berminat itu terdiri daripada pembuat kenderaan teknologi hijau dan ini merupakan satu perkembangan positif kepada industri automotif negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis perjanjian pengedaran kenderaan Chevrolet di antara Kumpulan Naza dan General Motors di sini hari ini.

Beliau hadir bagi mewakili Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, dalam teks ucapannya, Mustapa menyeru syarikat-syarikat automotif tempatan supaya lebih berani meneroka pasaran dan mempelajari amalan terbaik dalam pasaran-pasaran lain untuk menjadi lebih kompetitif di peringkat global.

Jelasnya, industri berkenaan juga diminta bersedia merebut manfaat-manfaat baru yang diperoleh dalam setiap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

''Pengurangan dan pemansuhan tarif di bawah FTA akan membantu menyediakan peluang terbuka lebih baik kepada pasaran alat ganti dan komponena dalam negara-negara rakan kongsi,'' tambahnya.

Mustapa berkata, industri automotif tempatan mempunyai kitaran pusingan produk yang pendek berikutan perubahan pilihan pengguna yang pantas.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...