Thursday, 11 March 2010

MITI: Liberalisasi Tidak Akan Menjejaskan Penglibatan Bumiputera Dalam Sektor Perkhidmatan

1. Pengumuman liberalisasi ke atas 27 sub sektor perkhidmatan adalah bertujuan memperkukuhkan ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran global. Langkah ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia. Di bawah model baru ekonomi ini sektor perkhidmatan akan dibangunkan secara intensif sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi negara.

2. Proses liberalisasi bagi sektor perkhidmatan bermula sejak 1995 apabila Malaysia memberi komitmen untuk meliberalisasikan sektor perkhidmatan di dalam Pusingan Uruguay di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia atau World Trade Organisation (WTO) dan di dalam ASEAN melalui ASEAN Framework Agreement on Services (AFAS).  Di bawah AFAS, pemimpin-pemimpin ASEAN telah memberi komitmen untuk meliberalisasikan sepenuhnya (70 peratus ekuiti ASEAN) sektor perkhidmatan pada 2015. Ia adalah selaras dengan objektif integrasi penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community - AEC) iaitu membuka pasaran lebih bebas bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan, serta perpindahan kepakaran di kalangan negara-negara ASEAN.

3. Keputusan meliberalisasikan 27 sub sektor perkhidmatan dibuat oleh Kerajaan setelah berbincang dengan Kementerian/agensi berkaitan dan mengambil kira kepentingan pengusaha-pengusaha tempatan, termasuk masyarakat Bumiputera yang terlibat dalam sektor perkhidmatan. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah diberi tanggungjawab menyelaras dan menggerak usaha liberalisasi sektor perkhidmatan.

4. Sebelum pengumuman mengenai liberalisasi 27 sub sektor perkhidmatan ini, MITI telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan persatuan-persatuan industri Bumiputera. Maklumbalas yang diperolehi daripada komuniti perniagaan Bumiputera adalah positif dan mereka berpandangan bahawa untuk menjadi sebuah negara yang global, Malaysia memerlukan perubahan dan penstrukturan semula ekonomi untuk kekal berdaya saing. Sungguhpun begitu, pengusaha-pengusaha Bumiputera dalam sektor perkhidmatan meminta Kerajaan agar meneruskan pemberian bantuan kepada komuniti perniagaan Bumiputera bagi membina dan memperkukuhkan keupayaan dan daya saing mereka dalam menghadapi persaingan di pasaran tempatan dan meneroka peluang di luar negara.

5. Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi Malaysia kerana ia menyumbang 55 peratus kepada KDNK negara pada 2008, di mana 47.6 peratus disumbangkan oleh perkhidmatan bukan kerajaan. Bagi negara-negara maju, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK adalah lebih daripada 70 peratus. Bagi mencapai status negara maju, Malaysia perlu membangun dan memperkukuhkan lagi sektor perkhidmatannya. Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3)  telah mensasarkan sektor perkhidmatan menyumbang 60 peratus  kepada KDNK menjelang  tahun  2020.

6. Bagi memastikan sektor perkhidmatan terus menyumbang secara positif kepada ekonomi, Pelan Induk ini juga telah mensasarkan pelaburan tahunan sebanyak RM45.8 bilion. Dalam tempoh tiga tahun yang lepas, pelaburan di dalam sektor perkhidmatan telah melepasi sasaran IMP3, dengan jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah  RM50.1 bilion pada 2008, RM66.4 bilion pada 2007 dan RM55.5 bilion pada 2006. Walaubagaimanapun, sebilangan besar pelaburan ini adalah berpunca dari pelaburan domestik yang mana pelaburan asing langsung hanya menyumbang  di antara 10 hingga 15 peratus dalam tempoh-tempoh berkenaan. Untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan langsung asing perlu menyumbang sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan dalam sektor perkhidmatan.

7. Di dalam suasana pasaran dunia yang semakin terbuka, Malaysia perlu berusaha meningkatkan eksport negara. Eksport sektor perkhidmatan menunjukan pencapaian yang menggalakkan. Eksport ini telah meningkat 1 peratus kepada RM102 bilion pada 2008 daripada RM100.9 bilion dalam tahun 2007 dan peningkatan 26.7  peratus pada 2007 daripada  RM73.7 bilion dalam tahun 2006. Eksport dalam sektor perkhidmatan terdiri daripada sub sektor perkhidmatan seperti pelancongan, pengangkutan, pendidikan, kewangan dan insurans, ICT, profesional dan perniagaan serta perkhidmatan pembinaan. 

8. Negara perlu melihat dengan lebih meluas mengenai faedah daripada liberalisasi perkhidmatan yang berlaku di peringkat global. Syarikat-syarikat Malaysia telah mendapat manfaat daripada liberalisasi perkhidmatan dan mengembangkan pasarannya di luar negara. Misalnya, dalam bidang perkhidmatan pembinaan, syarikat-syarikat Malaysia terlibat secara aktif dalam pelbagai projek pembinaan di negara-negara Timur Tengah, Asia Selatan dan ASEAN. Pasaran luar juga berjaya ditembusi oleh syarikat-syarikat Malaysia dalam bidang perkhidmatan minyak dan gas, pendidikan, pengangkutan udara, kesihatan dan perkhidmatan profesional.

9. Malaysia mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mengeksport sektor perkhidmatan. Bagi memastikan Malaysia meluaskan pasarannya di luar negara dalam sektor perkhidmatan, maka liberalisasi adalah jalan penyelesaiannya. Malaysia juga perlu melibatkan diri dalam usaha liberalisasi seiring dengan pembukaan pasaran oleh negara-negara lain. Pembukaan pasaran oleh negara-negara luar hendaklah dibalas dengan tawaran pembukaan pasaran di Malaysia.

10. Langkah liberalisasi ini tidak bermaksud Malaysia perlu mengurangkan pegangan ekuiti semasa oleh syarikat Malaysia di dalam usaha samanya dengan rakan perniagaan asing. Kedudukan pegangan ekuiti semasa oleh syarikat Malaysia di dalam syarikat  sedia wujud hendaklah dikekalkan. Langkah liberalisasi serta merta ini adalah bagi pelaburan-pelaburan baru sahaja. Bagi tujuan penyenaraian syarikat milik asing di Bursa saham tempatan, syarikat ini masih perlu mematuhi syarat-syarat penyenaraian di Bursa, termasuk pegangan ekuiti oleh Bumiputera.

11. Syarat ekuiti yang dikenakan kepada pelabur asing menjadi halangan dalam usahanya membuat keputusan mengenai pelaburan di dalam negara ini. Memandangkan penyedia perkhidmatan asing membawa bersamanya pengetahuan dan kepakaran ke dalam negara, maka sudah tentu mereka ingin mempunyai kawalan yang menyeluruh di dalam perniagaan. Di samping itu, pelabur asing juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rakan niaga tempatan yang bersesuaian. Jika ini tidak ditangani, pelabur asing cenderung untuk memilih negara ASEAN lain yang pada masa ini menawarkan pakej perkhidmatan yang lebih terbuka dalam sektor perkhidmatan.

12. Liberalisasi sektor perkhidmatan memberi manfaat kepada negara, dengan:
- meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara;
- menggalakkan pelaburan langsung asing;
- mewujudkan peluang pekerjaan baru yang bernilai tinggi;
- menggalakan kemasukan kepakaran dan teknologi;
- menyediakan peluang usahasama dengan syarikat tempatan;
- mewujudkan peluang kerjasama bagi menembusi pasaran luar;
- menyediakan suasana perniagaan yang lebih telus;
- meningkatkan daya saing sektor perkhidmatan di Malaysia;
- memberi kelebihan utama (first mover advantage) bagi menarik pelaburan langsung asing; dan
- membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang ingin menjadi vendor dan menyokong operasi pelabur-pelabur asing.

13. Sungguhpun usaha meliberalisasi sub sektor perkhidmatan lain masih berterusan, Kerajaan akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada penyedia perkhidmatan tempatan supaya dapat menghadapi saingan daripada penyedia perkhidmatan asing. Sehubungan dengan itu, pelbagai program, bantuan dan insentif telah ditawarkan untuk penyedia perkhidmatan tempatan bagi memperkukuhkan daya saingnya dan menambah keupayaan baru bagi mengambil peluang dalam pasaran tempatan tetapi juga pasaran luar negara. 

14. Sebelum pengumuman liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan dibuat, Kerajaan telah menubuhkan Dana Pembangunan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (Services Sector Capacity Development Fund - SSCDF) dengan peruntukan awal dana sebanyak RM100 juta bagi mengurangkan impak liberalisasi kepada penyedia perkhidmatan tempatan. Jumlah peruntukan awal dana ini yang diperoleh daripada peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Pertama akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti berikut:
- Outreach dan latihan
- Penambahbaikkan dan Modenisasi;
- Akreditasi; dan
- Pembiayaan bagi tujuan penggabungan dan pengambilalihan.

15. Sebagai tambahan, Kerajaan juga telah menubuhkan pelbagai bentuk sumber pembiayaan dan insentif-insentif kepada penyedia perkhidmatan di Malaysia, terutamanya kepada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (SME). Lebih daripada RM3 bilion telah diperuntukkan di bawah program National SME Development Blueprint yang dilancarkan pada 2007 untuk mempromosi Bumiputera bagi menceburi bidang keusahawanan.

16. Pelbagai pinjaman mudah dan bantuan ditawarkan kepada SME, termasuk Bumiputera SME bagi memperkukuhkan daya saingnya, seperti:
- Pinjaman mudah kepada SME sebagai modal kerja dan bagi melaksanakan projek serta pembelian asset tetap;
- Pinjaman mudah untuk penggunaan ICT; dan
- Geran bersamaan bagi memulakan perniagaan.

17. Kerajaan juga telah mewujudkan Dana Eksport Perkhidmatan (Services Export Fund - SEF) bagi membantu pengeksport-pengeksport Malaysia mempromosi perkhidmatan mereka bagi menembusi pasaran diluar negara. SEF menawarkan bantuan kewangan bagi aktiviti-aktiviti berikut:
- Penglibatan dalam tender rundingan atau terus serta bagi menjalankan kajian;
- Penyediaan kertas cadangan bagi projek-projek yang dirunding termasuk rekaan;
- Pelaksanaan kajian pra kemungkinan/ kemungkinan; dan
- Aktiviti-aktiviti promosi.

18. Bagi meneruskan komitmen Kerajaan dalam membantu SME dan masyarakat perniagaan Bumiputera dalam sektor perkhidmatan, pelbagai program seperti misi galakan perdagangan dan pelaburan, penyertaan Bumiputera dalam pameran perdagangan dirancang bagi memastikan penyedia perkhidmatan tempatan, temasuk golongan Bumiputera dapat mempertingkatan keupayaannya dalam bidang eksport.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
12 Mei 2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...