Friday, 12 March 2010

Husni tolak spekulasi pelaksanaan GST dibatalkan

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam hanya membincangkan aspek-aspek Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), terutamanya pemahaman orang ramai tentang sistem cukai yang dicadangkan dan pelaksanaannya, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Kita tidak kata batal. Kabinet membincangkan dengan terperinci pelaksanaannya dari segi kefahaman rakyat dan setakat mana mereka bersedia. Kita tidak mahu menghadapi masalah kemudian nanti, yang mungkin menyusahkan rakyat," katanya apabila diminta mengulas spekulasi yang mengatakan pelaksanaan cukai itu dibatalkan.

"Tiada kata putus," katanya selepas menyampaikan ucapan pada majlis pengiktirafan vendor Faber Group di sini, hari ini. Mengulas Model Ekonomi Baru (MEB), beliau berkata, ia sejajar dengan konsep "Rakyat Didahulukan" yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Husni berkata, MEB akan menjadi asas bagi Rancangan Malaysia Ke-10.

Perdana Menteri, hari ini mengumumkan bahawa peringkat pertama MEB akan diumumkan pada 30 Mac 2010. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...