Thursday, 4 March 2010

bharian: Warna Kehidupan: Hidup bersara: Susah senang sendiri tentukan

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


BUDAYA berbelanja mewah semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita pada hari ini khususnya bangsa Melayu yang dilihat kurang prihatin terhadap aspek perancangan masa depan sehingga mencetuskan masalah apabila seseorang itu mencapai tempoh bersara.

Peningkatan kesihatan pada alaf ketiga di sebalik kepelbagaian penyakit, menyaksikan seorang pesara kini mempunyai jangka hayat yang panjang dan berkemungkinan berpeluang meneruskan kehidupan sehingga tempoh 20 tahun selepas bersara.

Tempoh jangka hayat yang lebih panjang ini, tentunya memerlukan jumlah wang yang banyak untuk menampung perbelanjaan hidup selepas bersara, lebih-lebih lagi pada usia sedemikian, kecenderungan kesihatan mereka lebih terganggu adalah tinggi.

Kebanyakan pekerja di negara kita mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mengikut KWSP, purata penyimpan yang mempunyai simpanan kurang dari RM120,000 sebelum bersara akan hanya mencukupi perbelanjaan RM500 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Justeru, bagi meneruskan kehidupan, golongan pesara kakitangan swasta khususnya tetap memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan hidup, meskipun belum mengambil kira perbelanjaan pendidikan anak yang masih belum menamatkan pengajian dan kenduri perkahwinan anak mereka.

Meskipun sudah ada beberapa kes dilaporkan yang membabitkan pesara terpaksa hidup melarat pada usia persaraan mereka ekoran kegagalan pengurusan kewangan secara berhemah, tetapi masih ada yang memandang ringan berhubung perkara terbabit.

Mereka tidak mengambil iktibar daripada Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqaan ayat 67, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah pembelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian”.

Sesetengah daripada pesara menggunakan simpanan KWSP yang diperoleh bagi membesarkan rumah dan melancong tanpa beringat sehingga akhirnya dalam masa beberapa tahun simpanan mereka kering sehingga memaksa mereka bekerja semula pada usia lanjut.

Pesara, Zainul Abidin, berkata masyarakat masa kini khususnya orang Melayu kurang faham mengenai kepentingan merancang kewangan menjelang hari tua kerana mentaliti sesetengah daripadanya yang menganggap jumlah wang pencen sudah mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

"Dalam hal ini, pesara swasta lebih perlu berhati-hati kerana mereka terpaksa bergantung kepada simpanan KSWP semata-mata dan walaupun mendapat wang dalam jumlah yang banyak, tetapi dalam sekelip mata boleh selesai jika ditimpa bencana.

"Bagi yang berpencen pula, mereka cuma mendapat 50 peratus daripada gaji pokok terakhir dan jumlah ini rendah berbanding perbelanjaan sebenar untuk menampung kehidupan pada usia tua. Bagaimanapun, mereka tetap beruntung berbanding pesara swasta kerana mendapat rawatan kesihatan percuma dari hospital kerajaan sepanjang hayat," katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Zainul menasihatkan pesara swasta khususnya agar lebih berwaspada dan memastikan mempunyai pelan tindakan yang baik untuk menabung dan dimulakan pada usia muda lagi bagi mengelakkan diri daripada tersepit dengan situasi sudah terhantuk baru terngadah.

"Ukuran perbelanjaan dalam Islam ialah kesederhanaan dan itulah panduan yang membataskan antara keperluan hakiki dan pembaziran. Mereka boleh bermurah hati, tetapi bertempat dan jangan pula sampai ke tahap bakhil hanya kerana terlalu beringat,” ujarnya.

Seorang lagi pesara, Daeng Andak Al-Habrah, berkata kebanyakan pesara mula gelap mata apabila mendapat wang dalam jumlah yang banyak sehingga menyebabkan mereka terlupa mengenai kegunaan wang itu pada masa depan ketika tidak lagi mempunyai pendapatan bulanan.

"Individu, tidak mengira sektor kerajaan atau swasta perlu memberi perhatian terhadap perkara ini kerana perkiraan jangka panjang perlu. Sekiranya sebulan kita memerlukan RM2,000 untuk hidup secara sederhana, bermakna RM24,000 diperlukan setahun atau RM24,000 setahun atau RM480,000 untuk 20 tahun.

"Ini adalah penilaian mata wang sekarang dan jika inflasi diambil kira, mungkin kita memerlukan lebih dari RM700,000 selain perlu memikirkan aspek penjagaan kesihatan pada usia semakin meningkat," katanya yang pernah berkhidmat di sektor swasta.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan faktor keinginan setiap manusia untuk memiliki sesuatu yang belum dicapainya menyebabkan sesetengah daripadanya bersikap boros ketika memiliki wang yang banyak, tetapi ada baiknya ia dapat dielakkan demi kepentingan diri.

"Tidak salah menggunakan wang KWSP untuk menunaikan haji atau memberi sedekah pada kadar kemampuan, tetapi jangan sampai memudaratkan diri. Justeru, sama ada KWSP atau pencen, bergantung kepada matlamat persaraan setiap kerana perkara utama adalah mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah demi masa depan keluarga," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 04/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...