Monday, 8 March 2010

bharian: Ulul Albab: Pesalah syariah boleh minta dihukum setimpal

Oleh Abdurrahman Haqqi

Falsafah menghukum dalam Islam dikaitkan dengan pembersihan dosa dunia, akhirat

HAK pelaku kesalahan untuk mendapatkan hukuman adil adalah perkara biasa dan tidak asing bagi kita kerana semua perundangan menetapkan demikian berdasarkan ijtihad penggubalnya. Tetapi bagaimana jika kita katakan bahawa melaksanakan hukuman ke atas orang yang bersalah adalah hak individu terbabit, ia bukan saja satu kewajipan perundangan semata-mata. Tentu ia akan dianggap sebagai tidak biasa dan asing dalam masyarakat.

Bagaimana boleh dikatakan bahawa pelaksanaan hukuman adalah sesuatu hak, sedangkan hak adalah sesuatu perkara yang memberi manfaat bukan memberi mudarat seperti pelaksanaan hukuman yang mematikan, menyakitkan atau menyekat kebebasan?

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya al-Fard wa al-Daulah fi al-Syari'ah al-Islamiyyah (Umat dan Negara dalam Syariat Islam) menukil tulisan pakar perundangan Arab moden ternama Abdul Razzaq Sanhuri dalam bukunya, Usul al-Qanun (Prinsip Undang-Undang) menulis: "Hak umum ialah hak yang mesti dinikmati oleh tiap individu sebagai anggota masyarakat yang dia tidak dapat tidak harus memilikinya. Hak mana diadakan untuk melindungi diri, kebebasan dan hartanya." (muka surat 52).

Pada muka surat sama, Dr Zaidan juga menukil tulisan Dr Othman Khalil dalam bukunya al-Dimoqratiyyah al-Islamiyyah (Demokrasi Islam) yang menyatakan bahawa ahli undang-undang membahagikan hak ini pada dasarnya kepada dua jenis iaitu persamaan dan kebebasan. Konsep persamaan ada beberapa bidang. Umpamanya persamaan dalam undang-undang dan persamaan dalam pengadilan. Sedangkan konsep kebebasan pula terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada kebebasan peribadi, hak milik, hak privasi tempat tinggal, kebebasan beragama dan beribadah, hak memberi pendapat, hak belajar dan seterusnya.

Jadi hak adalah sesuatu yang memberi manfaat seperti dalam melindungi diri, kebebasan, dan harta. Jika demikian halnya, bagaimana pelaksanaan hukuman adalah hak pesalah? Pertanyaan di atas sememangnya akan timbul jika kita tidak memahami dengan benar, betul dan tepat mengenai falsafah dan tujuan mengadakan hukuman dalam Islam. Salah satu tujuan hukuman ialah pembersihan dosa yang berimpak keakhiratan dan penghapusan kesilapan yang berimpak keduniaan. Dalam pelaksanaan hukuman ada konsep taubat yang menjadi sebab utama pembersihan dosa manusia yang akan membawanya kepada keampunan Ilahi dan syurga-Nya.

Oleh itu, kita dapati dalam sirah nabawiyyah atau sejarah Nabi ada berapa kejadian yang mana sahabat yang melakukan kesalahan mendatangi Baginda untuk dibersihkan dosa dengan melaksanakan hukuman ke atasnya. Ia menjadi hak individu terbabit untuk membersihkan dosanya di dunia daripada dia dikenakan pada hari kiamat yang sudah tentu akan lebih dahsyat, menyakitkan dan sangat pedih. Tidakkah ini juga boleh memberi manfaat dalam bentuk melindungi diri daripada seksa Allah di akhirat walaupun pada zahirnya ia memudaratkan diri? Pada suatu hari, seperti diriwayatkan Abu Hurairah r.a, seorang lelaki daripada kaum Muslimin datang kepada Rasulullah SAW. Ketika berada di dalam masjid, lalu dia berseru memanggil beliau: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku sudah berzina. Lalu Rasulullah SAW memalingkan diri daripadanya sehingga orang menghadapkan dirinya ke arah wajah beliau dan berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina. Rasulullah SAW kembali memalingkan diri daripadanya sehingga orang itu mengulangi ucapannya sebanyak empat kali. Setelah dia bersaksi atas dirinya sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya dan bertanya: Apakah kamu gila? Lelaki itu menjawab: Tidak. Beliau bertanya lagi: Apakah kamu seorang yang pernah kahwin? Lelaki itu menjawab: Ya. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat: "Bawalah dia pergi lalu rejamlah!." (Shahih Muslim No.3202)

Mengapa orang berkenaan, dalam riwayat lain disebutkan namanya sebagai Ma'iz bin Malik, sengaja datang kepada Rasulullah SAW yang pada akhirnya akan mendapatkan hukuman rejam? Bahkan dia mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Dalam kisah lain yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a dan Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a: "Bahawa seorang lelaki Arab Badwi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, aku mengharapkan engkau hanya untuk memutuskan perkaraku sesuai dengan Kitab Allah. Lalu pihak lain yang berperkara berkata, sedang dia lebih pandai: Ya, putuskanlah perkara kami dengan Kitab Allah, dan izinkanlah aku bicara! Rasulullah SAW berkata: "Silakan, bicaralah! Dia pun lalu berbicara: Sesungguhnya anakku sebagai pekerja upahan pada orang ini lalu dia berzina dengan isterinya. Kemudian aku diberitahu bahawa anakku itu harus direjam sehingga aku menebusnya dengan 100 kambing dan seorang budak perempuan. Dan aku juga telah menanyakan kepada orang yang berilmu lalu mereka menjawab bahawa anakku hanya harus disebat 100 kali dan diasingkan selama setahun, sedangkan isteri orang ini harus direjam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Demi Tuhan Yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh aku akan memutuskan dengan Kitab Allah! Seorang budak perempuan dan kambing harus dikembalikan dan anakmu harus disebat 100 kali serta diasingkan selama setahun. Sekarang pergilah kepada isteri orang ini, wahai Unais. Jika dia mengaku, maka rejamlah dia. Selanjutnya Unais pun datang menemui wanita itu dan dia mengakui perbuatannya. Maka sesuai dengan perintah Rasulullah SAW wanita itu harus direjam. (Shahih Muslim No.3210)

Sungguh luar biasa dan ajaib perilaku sahabat Rasulullah yang menjadi contoh untuk umat Islam berikutnya. Mereka ingin melaksanakan undang-undang sepenuhnya. Undang-undang yang bersifat kewajipan mahupun yang bersifat hak. Mereka ingin kedua-duanya ditegakkan. Negara sebagai pelaksana undang-undang Allah sudah sewajarnya memerhati keperluan warganya termasuk keperluan warga untuk melaksanakan hukuman. Ibnu Taimiyah dalam kitabnya al-Siasah al-Syar'iyyah (Kebijakan Syarak) menulis: "Memimpin dan menguasai umat adalah antara kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan berdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pemimpin) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang daripada yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teraju kepemimpinan." Melaksanakan undang-undang Allah di muka bumi adalah tugas dan kewajipan kekuasaan yang diamanahkan ke atasnya oleh suatu takdir Ilahi. "Hidup ini seumpama bahtera," kata Dr Zaidan."

Tidak ada seorang pun berhak menebuk bahtera kehidupan ini, dan menenggelamkan penumpangnya. Antara kekuasaan yang boleh mencegah perkara ini secara efektif ialah negara dan alat pertahanannya. Sebab 'Apa yang tidak mahu ditundukkan oleh al-Quran akan ditundukkan oleh kekuasaan.' Demikian kata Saidina Othman Ibn 'Affan ra (muka surat 13-14). Apabila kita memahami bahawa melaksanakan hukuman adalah hak pesalah seperti diajarkan Islam maka sudah sepatutnya ia juga dimasukkan dalam koridor pembahasan hak seperti hak bersuara dan hak berpendapat sehingga semua juga menyuarakan haknya demi mendapatkan haknya itu. Wallahualam.

(Sumber dari Berita Harian, 07/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...