Tuesday, 30 March 2010

bharian: Tingkat pelaburan melalui CECA

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

MALAYSIA dan India kini berada dalam kedudukan yang baik untuk memuktamadkan perjanjian bagi liberalisasi perdagangan dua hala mengikut Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) Malaysia-India, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pusingan ketiga rundingan CECA diadakan bermula semalam hingga 31 Mac di Kuala Lumpur.

CECA dijangka terus merangsang pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara. India, adalah rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia tahun lalu. Dagangan antara kedua-dua negara meningkat pada 2008 kepada AS$10.52 bilion tetapi menyusut kepada AS$7.06 bilion tahun lepas berikutan kelembapan ekonomi global.



“Tidak disangsikan yang kita akan menyaksikan perdagangan antara kedua-dua negara akan bertambah baik dan kemudian berkembang pantas melebihi angka 2008,” kata Mustapa dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kementeriannya gembira dengan minat yang ditunjukkan sektor korporat di India dan Malaysia, dan mengharapkan aliran pelaburan yang lebih banyak dari India.

“Saya berharap untuk menyaksikan syarikat India sedia ada dan yang baru meluaskan operasi mereka di Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Dengan tekad untuk memastikan rundingan berjaya, Mustapa menemui rakan sejawatannya dari India, Menteri Kesatuan Industri dan Perdagangan Anand Sharma, di India baru-baru ini untuk melihat perkembangan CECA.

“Sharma dan saya telah bersetuju mengenai proses yang akan memastikan kami memenuhi tarikh akhir yang mencabar ini. Bidang perjanjian ini meliputi perkhidmatan dan pelaburan, mencerminkan tahap hasrat kita yang saya kategorikan sebagai ‘Asean Campur’,” jelasnya.

Malaysia melalui perjanjian dalam Asean, memeterai Perjanjian Barangan dalam Perdagangan Asean-India pada Oktober lalu. Perjanjian itu berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...