Monday, 8 March 2010

bharian: Swasta digesa beri sumbangan kepada Tabung Warisan Negara

GEORGETOWN: Syarikat swasta digesa memberi sumbangan untuk mengisi dana Tabung Warisan Negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, walaupun kementerian itu menokok dana dalam tabung berkenaan, namun ia memerlukan sumbangan swasta untuk pembiayaian pelbagai projek pemuliharaan dan pemeliharaan warisan negara.

"Kita bercadang untuk memberikan pelepasan cukai kepada mana-mana syarikat yang memberi sumbangan melebihi RM5,000 kepada tabung itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Rumah Teh Bunga di Jalan Hutton di sini hari ini.

Rais berkata, kerajaan juga sedang meneliti bentuk insentif kepada mana-mana syarikat pemaju perumahan yang memulihara bangunan warisan di kawasan atau sekitar tapak projek mereka.

Katanya, menerusi sumbangan syarikat swasta, kerajaan yakin lebih banyak projek pemuliharaan bangunan warisan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah serius untuk memelihara warisan negara kerana ia adalah lambang sejarah di negara ini.

"Salah satu masalah negara membangunan ialah keseimbangan antara warisan dan kemajuan dan Malaysia adalah sebuah negara yang mementingkan keseimbangan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi Pulau Pinang, kerajaan telah melaksanakan 10 projek pemuliharaan warisan termasuk Rumah Teh Bunga itu.

Rais juga berkata, kementerian sedang mengkaji untuk mewujudkan biasiswa atau dermasiswa pendidikan bagi penyelidikan warisan negara ini seperti asal-usul bangsa dan pensejarahan serta cara orang Islam mendapat perlindungan daripada Sultan Kedah, yang masih boleh dibuat penyelidikan secara akademik.

Katanya pengiktirafan penyelidikan dan kerja-kerja pemuliharaan warisan tidak menjadi masalah di negara ini kerana Malaysia telah mendapat pengiktirafan Unesco sebagai negara yang memulihara warisan.

Katanya, sehubungan itu kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan warisan tidak harus dipolitik oleh mana-mana pihak.

"Kerja-kerja warisan tidak harus dipolitik dan orang politik juga tidak perlu campur tangan, biarlah golongan profesional dalam bidang itu menjalankan kerja mereka," katanya.

Beliau berkata, projek pemuliharaan warisan sebenarnya memberi kesan langsung terhadap industri pelancongan.

Mengenai permohonan kerajaan negeri ini bagi dana pemulihraan George Town sebagai tapak warisan dunia, Rais berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh memohon bantuan dana khas daripada Khazanah Negara.

Katanya, kerajaan pusat juga akan meneliti bentuk kerjasama yang boleh diberikan kepada kerajaan negeri ini bagi memastikan pengiktirafan Unesco terhadap Bandaraya Georgetown sebagai tapak warisan dunia dapat dikekalkan.

Lim baru-baru ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri masih menunggu bantuan dana lebih RM20 juta daripada kementeria itu bagi menjalankan kerja-kerja pemuliharaan seperti yang disyaratkan oleh Unesco. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 06/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...