Tuesday, 30 March 2010

bharian: 'Jakim sukar tangani isu logo halal'

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau badan Islam lain yang diiktiraf tidak dapat melaksanakan tindakan tegas berhubung isu halal yang menjadi kebimbangan umat Islam kerana ketiadaan Akta Halal untuk melaksanakan peraturan halal.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata Akta Halal penting bagi membolehkan Jakim dan semua badan Islam diiktiraf menguatkuasakan isu halal dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, rang undang-undang Akta Halal yang bertujuan memperkemas, menguatkuasa dan mempertingkatkan keberkesanan dalam melaksanakan peraturan halal dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.



“Pengguna juga perlu mempunyai kesedaran dan pendidikan berhubung isu sijil halal bagi memastikan mereka tidak ditipu dengan makanan yang tidak halal ketika menjamu selera di restoran.

“Pengguna Islam perlu memahami yang sijil halal hanya dikeluarkan oleh Jakim atau badan Islam diiktiraf dan bukan sebarangan pihak,” kata dalam rancangan Soal Jawab melalui stesen televisyen TV3, malam tadi, yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib.

Pada masa sama, beliau turut mengakui tidak ada kerjasama yang padu antara Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memerangi isu sijil halal yang tidak sah.

Beliau berkata, masalah itu perlu diberi perhatian supaya isu halal dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Nadzim turut mengingatkan umat Islam bahawa hanya tiga kopitiam saja yang mempunyai sijil halal sedangkan sebahagian besar yang lain tidak punyai sijil halal.

“Kenapa kita pergi juga pada restoran atau kopitiam yang tidak punya sijil halal, sedangkan Islam menitikberatkan pada makanan yang halal,” katanya sambil menambah PPIM sudah beroperasi sejak 13 tahun lalu dan mempunyai 2,000 ahli dan 300,000 sukarelawan.

Selain itu, katanya, PPIM turut bersama membanteras masalah along dengan membantu peminjam membayar pinjaman melalui rundingan dengan ceti haram terbabit.

“Kita sudah menemui kira-kira 3,000 ceti haram bagi menyelesaikan masalah peminjam. Pelbagai kejadian berlaku termasuk pergaduhan sehingga saya sendiri mengalami kecederaan.

“Kita mempunyai cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah along seperti mengaitkan perniagaan mereka dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerana sebahagian besar mereka tidak membuat pembayaran cukai dan mereka amat takut bila diberikan peringatan sedemikian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...