Wednesday, 31 March 2010

bharian: Sistem perbankan tempatan berjaya harungi krisis global

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
SISTEM perbankan tempatan terbukti berjaya mengharungi krisis kewangan global malah kini berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding bank beberapa negara serantau, kata RAM Rating Services Bhd.

Mengikut agensi penarafan itu, bank di negara ini bukan saja akan meningkatkan lagi mutu aset tahun ini, malah bakal mencatat keuntungan lebih tinggi, mempunyai mudah tunai mencukupi dan modal yang kukuh.

Rumusan itu dibuat agensi penarafan itu berdasarkan kaji selidik mengenai daya tahan bank tempatan dengan menggunakan bank-bank di Jepun, Singapura, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Thailand sebagai perbandingan.



Ketua Penarafan Institusi Kewangan, RAM Ratings, Promod Dass, berkata pihaknya turut menjangkakan bank tempatan tahun ini akan mencatat kadar pertumbuhan antara lapan peratus hingga 10 peratus, serta menyaksikan lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Katanya, M&A pada peringkat serantau akan berlaku apabila bank tempatan mencari peluang pasaran di luar negara, seperti berlaku beberapa tahun lalu, manakala penggabungan pusingan kedua dalam negara juga dijangka berlaku tahun ini, susulan persaingan semakin sengit.

“Tidak seperti proses penggabungan terdahulu yang digerakkan oleh kerajaan, pusingan penggabungan kali ini akan dipacu faktor pasaran apabila bank cuba mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Proses M&A itu akan membabitkan penggabungan sesama bank tempatan dan antara bank negara ini dengan bank asing,” katanya pada sidang media sempena pelancaran laporan RAM Banking Bulletin di Kuala Lumpur, semalam.
Dass menambah, dasar monetori bersesuaian dan tepat serta langkah berjaga-jaga Bank Negara Malaysia berjaya melindungi sistem perbankan tempatan mengharungi krisis kewangan global.

“Bank negara ini juga mendapat manfaat daripada langkah pembaharuan sektor kewangan yang diguna pakai beberapa tahun lalu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...