Thursday, 4 March 2010

bharian: Sasar pertumbuhan enam peratus

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


Kakitangan awam mesti lipat ganda usaha pertingkat ekonomi negara: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa kakitangan awam menggandakan usaha mereka bagi mencapai pertumbuhan ekonomi enam peratus tahun ini.

Perdana Menteri berkata, ia bukan sesuatu di luar kemampuan jika semua pihak bekerja bersungguh-sungguh termasuk mewujudkan pelan strategik, melahirkan idea bernas, perancangan yang teratur serta pelaksanaan yang berkesan.

Selain itu, katanya, program yang dilaksanakan juga memerlukan pemantauan yang berkesan mengenai kekuatan dan kelemahan.

"Saya harap kita akan berusaha sedaya upaya dan menggerakkan jentera kita sepenuhnya supaya dapat mencapai (pertumbuhan ekonomi negara) sebanyak enam peratus tahun ini," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Menteri di JPM dan kakitangan awam.

Pada 24 Februari lalu, Najib mengumumkan pencapaian ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, selain bekerja bersungguh-sungguh, sektor awam juga perlu memberi penekanan kepada pelaksanaan program atau projek pada kos lebih rendah tetapi mencapai matlamatnya.

"Soal 'value for money' bererti kita boleh mencapai sesuatu matlamat, sesuatu program atau projek dengan kos lebih rendah.

"Contohnya, 50 Klinik 1Malaysia yang ditubuhkan hanya membabitkan kos RM10 juta dan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan baru-baru ini yang peruntukannya dikurangkan kepada sekitar RM500,000 daripada RM2.2 juta.

"Saya rasa dari segi signifikan, majlis (sambutan) itu boleh dikatakan sama juga dengan perbelanjaan RM2.2 juta, malah lebih (baik), sebab kita berada dalam sebuah masjid dengan kesucian masjid itu terasa," katanya.

Najib berkata, jabatan kerajaan perlu mengambil sikap positif dengan mencari jalan mencapai objektif dengan perbelanjaan minimum kerana ia boleh membantu proses pemulihan ekonomi negara, sekali gus meletakkan asas lebih mantap apabila defisit fiskal kerajaan dapat dikurangkan.

"Apabila defisit fiskal kerajaan dapat dikurangkan daripada 7.4 peratus kepada 7 peratus, tahun ini 5.6 peratus dan sebagainya, kita akan meletakkan asas lebih mantap (dan) kukuh bagi ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, walaupun negara sudah mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik terutama pada suku akhir 2009, peranan sektor awam masih perlu terus ditekankan sebagai penggerak utama kepada pemulihan kerana persekitaran global masih belum pulih sepenuhnya.

"Tahun 2010 saya harap menjadi tahun untuk kita mencapai pertumbuhan lebih baik daripada apa yang kita ramalkan. Saya harap penjawat awam boleh response (memberi reaksi) positif terhadap usaha ini," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...