Saturday, 27 March 2010

bharian: Reformasi pentadbiran diumum ketika bentang MEB

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/25)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan turut mengumumkan beberapa reformasi pentadbiran ketika membentangkan Model Ekonomi Baru (MEB) pada 30 Mac ini.

Najib berkata, reformasi pentadbiran itu adalah untuk menyokong pelaksanaan MEB supaya ia mencapai matlamatnya iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.



Katanya, MEB yang akan diumumkannya adalah satu peralihan sepenuhnya dan ia bukan sekadar penambahan daripada yang sedia ada. “Saya percaya kita harus bergerak secara menyeluruh agar berlaku transformasi Malaysia secara besar-besaran.

“Ketika pertemuan dengan pengurus dana global semalam (kelmarin), saya membayangkan ada beberapa perkara yang akan dibentangkan pada 30 Mac ini termasuk perubahan pentadbiran,” katanya pada sidang media di sini pagi semalam, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Beliau berada di Hong Kong untuk menghadiri Persidangan Pelaburan Asia 2010 (AIC 2010).

Ditanya sama ada perubahan itu membabitkan pentadbiran di Kementerian Kewangan atau jabatan berkaitan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: “Tunggu dan lihat. Saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya... biar ia menjadi satu kejutan.”
Najib juga menyifatkan kehadirannya di AIC anjuran bank pelaburan, Credit Suisse sebagai mencapai matlamat dalam usaha memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan terkini negara kepada pelabur asing.

“Saya dapat simpulkan lawatan ini mencapai hasrat dan tujuan yang mana kita dapat menghurai dan menerangkan kepada pengurus dana global mengenai hala tuju dasar kerajaan,” katanya.

“Masih ada pelabur global yang tidak menyedari dan salah anggap mengenai apa yang berlaku pada masa dulu. Walaupun kita sudah membuat perubahan, namun mereka menyangka situasi sama masih berlaku di Malaysia.

“Dalam perkara ini, adalah tidak memadai jika kita hanya membuat kenyataan media saja, peluang pertemuan dalam persidangan seperti ini penting untuk memberi penjelasan kepada pelabur asing,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...