Thursday, 4 March 2010

bharian: Pulau Pinang tidak telus salur maklumat

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my


Guan Eng cakap status negeri bandar raya antarabangsa tetapi abai pembangunan Melayu

DI persimpangan dan lokasi strategik di bandar raya Georgetown, kain rentang digantung mempamerkan statistik gerai haram yang dikenakan tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Terpampang slogan 'Berani Kerana Benar' dan 'Amar Ma'aruf Nahi Mungkar' serta gambar Ketua Menteri, Lim Guan Eng di situ.

Ia seolah-olah mahu menunjukkan ketelusan tindakan beliau bukan semata-mata terhadap penjaja Melayu, malah Cina dan India tidak terkecuali. Mengikut statistik itu, 1,600 peniaga Melayu (33 peratus) dikenakan tindakan (saman) bagi tempoh 2008 dan 2009 manakala Cina 2,809 (58 peratus) serta India 443 (sembilan peratus).

Satu lagi bentuk penguatkuasaan terhadap penjaja ialah mereka dikenakan saman, manakala barang mereka dirampas. Di mana statistik ini? Kenapa Guan Eng menyimpannya? Namun Berita Harian mendapat statistik berkenaan iaitu seramai 132 penjaja Melayu dirampas barangannya pada 2008, Cina (110) dan India (17). Tahun lalu, Melayu (152), Cina (84), manakala India (17) dikenakan tindakan sama.

Sebelum menguatkuasakan tindakan menyaman atau merampas barang penjaja, kerajaan pakatan pembangkang atau MPPP perlu bersikap lebih bertimbang rasa dengan menyediakan alternatif tapak baru untuk mereka berniaga secara sah. Contoh, dalam kejadian 21 Ogos 2009, kira-kira 40 peniaga melakukan demonstrasi terhadap MPPP kerana menolak permohonan berniaga di sepanjang Jalan Penang sempena Ramadan.

Mereka membelanjakan RM30,000 hingga RM40,000 membeli stok barang jualan. Ini adalah antara tekanan yang dilalui peniaga kecil Melayu di sana. Tekanan yang direka oleh kerajaan negeri yang tidak mahu melihat rakyat negeri itu maju dalam perniagaan mereka. Keadaan ini sememangnya mengundang kesusahan kepada individu yang sebelum ini bergantung kepada hasil perniagaan secara kecil-kecilan.

Pada masa sama, apakah pihak berkuasa terbabit keliru kerana apabila Georgetown diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2008, maka antara elemen dalam kriteria status itu ialah mempertahankan warisan hidup termasuk penjaja dan gerai.

Oleh itu, apakah hasrat beliau yang masih retorik mahu menjadikan seluruh Pulau Pinang sebagai negeri bandar raya antarabangsa akan mengorbankan status anugerah Unesco yang membabitkan zon teras di Georgetown itu?

Apabila aktiviti menjaja yang menjadi sumber pendapatan rakyat berpendapatan rendah dan menyokong keperluan pelancong dikenakan tindakan, maka itu bukan satu langkah bijak. Mempersoal tindakan penguatkuasaan MPPP juga bukan untuk membangkitkan sentimen perkauman.

Apabila merujuk angka pada poster itu, maka tindakan berkenaan menjejaskan periuk nasi 4,852 penjaja kecil. Jika setiap seorang penjaja menanggung sara hidup purata seorang isteri dan dua anak, maka 19,408 penduduk Pulau Pinang terjejas sumber pendapatan secara langsung akibat tindakan itu kerana hasil jualan atau modal digunakan untuk membayar saman atau kerugian apabila barang mereka dirampas.

Apakah ini antara sikap Guan Eng yang membakar hati Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, sehingga melabelkan Ketua Menteri itu ciauvanis, diktator dan berfikiran komunis?

"Pada tahun lalu (2009), angkanya (yang disaman) ialah Melayu 815 (29 peratus), Cina 1,727 (62 peratus), India 247 (9 peratus). Kalau dijumlah angka dua tahun ini kita akan lihat Melayu 1,600 (33 peratus), Cina 2,809 (58 peratus), India 443 (9 peratus). Apakah angka ini tidak menjelaskan bahawa kita tidak amalkan pilih kasih dalam tindakan terhadap peniaga kecil.

"Dia orang buat tunjuk perasaan berdasarkan emosi, dan untuk tujuan politik. Kenalah tengok fakta, jangan demonstrasi hanya kerana emosi. Tetapi saya tidak kisah sebab yang tunjuk perasaan pun sedikit sangat," jawab Guan Eng dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman, ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu itu dan akan tampil mengemukakan cadangan menyelesaikannya.

"Kita akan tangani isu ini melalui kaedah penyelesaian yang dikemukakan jawatankuasa itu pada minggu depan atau selewat-lewatnya pertengahan Mac ini," katanya.

"CM (Ketua Menteri) angkuh," dakwa Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Rizal Faris Mohideen Kadir mengulas mengenai sikap Ketua Menteri itu yang enggan mengambil pandangan pihak lain dalam perancangan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sejak menerajui kerajaan negeri pada 8 Mac 2008, Guan Eng belum membentangkan sebarang pelan bagi membantu orang Melayu yang 70 peratus adalah miskin. Antara bukti Melayu semakin terpinggir di Pulau Pinang ialah pemilikan tanah cuma dua peratus di kawasan Timur Laut yang menjadi lokasi paling strategik serta tumpuan pelancong di negeri itu.

Kawasan itu yang merangkumi Georgetown merekodkan cuma 4.1 peratus penduduk Melayu. Di barat daya membabitkan Balik Pulau dan Teluk Kumbar pula, pemilikan tanah Melayu ialah 14 peratus.

"Dalam masa dua tahun mengambil alih takuk pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN), Guan Eng belum ada satu pun program untuk orang Melayu Pulau Pinang," katanya sambil mendakwa majoriti Melayu di negeri itu dalam golongan berpendapatan rendah dan tinggal dalam persekitaran tidak selesa yang dilihat boleh mendorong sebahagian generasi muda khasnya terjerumus ke kancah gejala sosial.

"Perceraian, misalnya meningkat 10 peratus bagi keluarga Melayu di Kampung Tokong. Perpindahan komuniti Melayu ke kawasan perumahan pangsa yang rata-rata tidak memiliki sistem penyelenggaraan yang sempurna selain rosak kemudahannya, perpindahan ini dilihat turut melenyapkan institusi kariah yang selama ini dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Beliau turut memberi gambaran, kelahiran bayi hasil perhubungan luar nikah semakin serius khasnya dikalangan generasi muda.

"Antara yang dilabelkan kawasan penempatan miskin Melayu ialah Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Feringgi, Taman Tun Sa'adon, Teluk Kumbar dan Kampung Melayu, Air Hitam. Namun tiada usaha membendung perkara itu melalui pendidikan atau latihan vokasional yang akhirnya menyumbang kepada pendapatan serta kehidupan lebih baik untuk mereka.

"Perumahan Melayu juga terletak dalam kawasan yang tidak strategik dan sesak. Jenis perumahan ini melahirkan generasi yang idiotic (bodoh). Inilah hakikat fenomena kemiskinan bandar yang menghasilkan pelbagai gejala sosial. Jadi soal pendapatan adalah antara penyelesaian kepada isu ini," katanya.

Oleh itu, Melayu Pulau Pinang memerlukan program khas untuk memiliki rumah lebih selesa. Selain itu, mereka memerlukan program pendidikan atau latihan vokasional supaya generasi muda Melayu mampu menjadi tenaga kerja mahir sekali gus meraih pendapatan lebih baik dan keluar daripada belenggu kemiskinan mahupun gejala sosial.

"Guan Eng kini asyik bercakap mengenai hasrat mencapai status negeri bandar raya antarabangsa. Dia cakap saja tetapi mana pelannya? Dulu ketika menjadi pembangkang, beliau boleh bercakap retorik tetapi sekarang tidak boleh lagi," kata Timbalan Pengerusi Dewan Muda DPMPP, Yassir Hafiz yang turut menyifatkan Guan Eng sebagai 'orang luar dan dikelilingi orang luar' yang tidak tahu budaya Pulau Pinang.

Mengulas tindakan MPPP terhadap penjaja, beliau berkata: "Kalau hendak pamer (statistik penguatkuasaan), pamerkan kedua-dua maklumat (termasuk saman dan rampasan barang). Bukan pamer satu, simpan satu," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...