Monday, 8 March 2010

bharian: Produk guna logo halal tidak diiktiraf dilarang pamer

GURUN: Produk makanan yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf kerajaan tidak akan dibenarkan dipamer di ruang makanan halal di premis perniagaan seluruh negara selepas Akta Halal diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ia adalah antara aspek utama yang dipertimbangkan sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai ini.

Katanya, pada masa ini pihak berkaitan sedang meneliti dan mengkaji aspek perundangan serta peraturan berkaitan akta itu untuk menentukan bentuk hukuman, peraturan, denda dan prosedur lain yang boleh dikenakan terhadap pihak yang mempermainkan aspek halal serta gagal mematuhinya.

"Selepas diluluskan, akta itu juga akan memastikan tidak ada pihak yang menyalah guna logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita jangka akta itu dapat diluluskan dan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini. Buat masa ini kita sedang membuat persediaan terakhir untuk membawa akta itu ke mesyuarat Kabinet dan ia dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai ini," katanya selepas melancarkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Agama Gurun di sini, hari ini.

Hadir Sama Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abd Rahman.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, sekurang-kurangnya 70 peratus Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sudah berdaftar sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) sehingga kini.

(Sumber dari Berita Harian, 07/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...