Thursday, 4 March 2010

bharian: Perkeso naik kadar pencen

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my


206,585 terima durian runtuh

KUALA LUMPUR: Seramai 206,585 penerima faedah pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat 'durian runtuh' apabila kerajaan menaikkan bayaran itu antara 0.6 hingga 11 peratus, iaitu kadar kenaikan tertinggi dalam sejarah Perkeso.

Pencen baru itu yang membabitkan perbelanjaan tambahan RM66.4 juta setahun, berkuat kuasa 1 Januari 2008 dan pembayaran akan dibuat mulai 1 April ini termasuk tunggakan berjumlah RM142.4 juta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata lebih 60 peratus daripada 206,585 penerima pencen itu mendapat kenaikan pada kadar 11.3 peratus dengan tunggakan tertinggi yang akan dibayar berjumlah RM6,645.

Pencen baru itu membabitkan penerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Orang Tanggungan serta orang berinsurans yang sedang menerima pencen Penakat dan Ilat pada atau sebelum 31 Disember 2007.

Penerima pencen sebelum 2003 mendapat kenaikan 10.2 peratus, pada 2003 (11.3 peratus), 2004 (9.6 peratus), 2005 (6.3 peratus), 2006 (2.6 peratus) dan 2007 (0.6 peratus).

"Kenaikan itu berdasarkan proses penyesuaian pelarasan kos sara hidup semasa atau berpandukan Indeks Harga Pengguna semasa," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada majlis itu, Subramaniam turut menyampaikan faedah dan alat pemulihan kepada 25 penerima faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal dan Pencen Penakat membabitkan bayaran sebanyak RM365,000.

Subramaniam berkata, penyelarasan kadar baru itu akan dapat membantu meringankan beban penerima pencen Perkeso.

"Dari semasa ke semasa, kajian berterusan akan dibuat bagi memastikan penyesuaian kadar bayaran pencen dilaksanakan agar penerima faedah itu berada pada tahap ekonomi semasa serta dapat menampung kos sara hidup yang meningkat," katanya.

Beliau berkata, Perkeso sentiasa memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan pencarumnya menerusi dua skim keselamatan sosial yang dikendalikannya, iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Menerusi kedua-dua skim itu, Perkeso menyediakan faedah bayaran jangka panjang kepada pencarumnya yang menerima faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah Pencen Ilat, katanya.

"Bayaran jangka panjang ini disediakan bagi memastikan kebajikan penerima faedah itu sentiasa terpelihara dan terjamin," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 02/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...