Monday, 8 March 2010

bharian: Pemaju perumahan wajib sedia prasarana jalur lebar

MUHYIDDIN mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Jalur Lebar Nagara di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meminda Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 bagi mewajibkan pemaju perumahan menyediakan prasarana jalur lebar di kawasan baru yang dimajukan pada masa depan dalam usaha meningkatkan capaian rakyat kepada kemudahan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut cadangan pindaan itu, kemudahan jalur lebar di kawasan perumahan baru akan dianggap sebagai perkhidmatan perlu sama seperti bekalan air dan elektrik.

"Sekarang ini keperluan ini (jalur lebar) seperti bekalan api dan air yang mana di seluruh negara dan di mana-mana pun mereka (rakyat) perlukan kemudahan itu.

"Jadi kita berpendapat sudah sampai masanya (pindaan dilakukan) kerana ini (kemudahan jalur lebar) harus dibuat sekali gus dengan rancangan kita untuk memastikan dalam tempoh 2010, kita akan mendapat 100 peratus (liputan) jalur lebar ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet mengenai Jalur Lebar di sini, semalam.

Beliau berkata, pindaan itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang akan berbincang dengan semua pihak yang berkaitan.

Mengenai dasar tapisan terhadap internet di negara ini, Muhyiddin berkata kerajaan sudah membuat keputusan sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia bahawa ia tidak akan dilakukan.

"Apapun, ada undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ada perkara tertentu kalau dilakukan pihak tertentu, ada peruntukan undang-undang, tetapi soal tapis itu tidak timbul langsung," katanya.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Muhyiddin berkata Pelan Pelaksanaan Jalur Lebar yang diwujudkan oleh jawatankuasa berkenaan mensasarkan kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah sebanyak 50 peratus dan 97 peratus liputan selular di kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini.

"Kajian global khusus bagi negara Asean menganggarkan sumbangan sebanyak satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 menara telekomunikasi lagi akan dibina oleh syarikat telekomunikasi di seluruh negara bagi mencapai kadar 97 peratus liputan selular menjelang hujung tahun ini.

"Tumpuan utama juga akan diberikan bagi meningkatkan kemudahan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak membabitkan pembinaan 415 menara," katanya.

Muhyiddin turut menegur sesetengah kerajaan negeri yang mengenakan bayaran yang tinggi bagi pembinaan menara telekomunikasi termasuk mengenakan bayaran tahunan sekali gus menyukarkan perkhidmatan itu disediakan untuk orang ramai.

(Sumber dari Berita Harian, 05/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...