Monday, 8 March 2010

bharian: 'Kami peluk Islam atas kerelaan sendiri'

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


Jakim tidak pernah buat kempen khusus tarik Orang Asli tukar agama

"AKU naik saksi tiada tuhan selain Allah dan aku naik saksi Nabi Muhammad, Rasulullah." Kalimah syahadah bergema dalam satu nada ketika 62 Orang Asli dari kampung di sekitar Kampung Orang Asli Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan, berikrar beriman kepada Allah.

Acara diadakan sempena Ekspedisi Kasih 3 anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menyaksikan Orang Asli terdiri daripada golongan muda dan dewasa mengucapkan syahadah.

Mereka dipimpin Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, membacakan syahadah sebanyak dua kali iaitu pertama sebagai latihan dan kedua supaya dapat membaca serta menghayati ikrar dilafazkan.

Melihat dan mendengar sendiri ikrar syahadah Orang Asli itu, perasaan syahdu terasa di hati kerana syiar Islam terus menyinar di perkampungan Orang Asli yang dihuni 680 penduduk daripada 152 keluarga dan 80 peratus adalah Islam.

Amai Tanjung, 67, antara yang beriman dan mengakui keesaan Allah pada majlis diadakan serba sederhana itu berkata, hatinya terbuka untuk memeluk Islam kerana mengenang umurnya yang semakin meningkat dan timbul kesedaran perlunya berhijrah kepada hidup lebih bermakna.

Katanya, jika dulu beliau menjalani kehidupan semata-mata untuk memenuhi tuntutan diri sebagai manusia, dengan gelaran sebagai seorang Islam serta bimbingan pihak berkaitan, hidupnya akan lebih bermakna.

Sementara itu, Marliah Nuri, 19, berkata galakan rakan yang kebanyakannya Melayu untuk mendalami serta mempelajari Islam mendorong beliau mengambil keputusan mengucapkan dua kalimah syahadah pada sambutan majlis memperingati Nabi Muhammad yang diadakan di Kampung Orang Asli Pos Hendrop.

"Memang saya ingin belajar tetapi buat masa ini saya tidak tahu jika ada orang yang boleh bantu. Saya pernah belajar mengenai Islam ketika di sekolah tetapi itu sudah lama dan saya perlu belajar semula," katanya.

Namun tidak dinafikan, di sebalik keghairahan melihat lebih ramai Orang Asli memeluk Islam, timbul keraguan apakah kesediaan menjadi pengikut Nabi Muhammad itu datang dari hati atau disebabkan faktor lain seperti untuk mendapatkan wang.

Othman yang juga penasihat program Ekspedisi Kasih 3 berkata, Jakim sentiasa menerima permohonan Orang Asli yang ingin memeluk Islam dengan syarat keputusan itu dibuat atas kerelaan hati mereka.

Katanya, apa juga sebab yang tersirat di sebalik pengislaman jika ada, itu bukan perkara pokok kerana Jakim tidak pernah berkempen untuk mengajak Orang Asli supaya memeluk Islam tetapi hasrat itu lahir daripada keinginan mereka.

"Jika ada yang berkata Orang Asli masuk Islam kerana duit, pada saya itu ditolak tepi kerana kita tidak pernah kempen masuk Islam akan dapat duit. Apabila mereka peluk Islam dengan kerelaan, kita terima dan kemudian kita bimbing.

"Melalui penggerak iaitu guru, pembimbing dan penyelaras yang kita ada, diharap program pendedahan terhadap Islam dapat dilakukan dengan berkesan. Kita mahu surau di kampung Orang Asli sentiasa hidup," katanya yang ditemui selepas majlis Perasmian Penutup Ekspedisi Kasih 3 di Kampung Orang Asli Pos Hendrop, Gua Musang.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Abdul Halid Sintol dan Penghulu Kampung Orang Asli Pos Hendrop, Ronggeng Busu.

Seperti program sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Kampung Orang Asli Pos Hendrop katanya, ia adalah antara pendekatan dilaksanakan Jakim untuk mendedahkan keindahan Islam kepada saudara baru Orang Asli.

Kebanyakan mereka sebelum ini tidak tahu mengenai Maulidur Rasul tetapi melalui sambutan diadakan di Kampung Orang Asli Pos Hendrop dan pelbagai program dilaksanakan, Orang Asli sudah mula menghayati perjuangan Rasulullah.

Secara tidak langsung juga, pertandingan azan, membaca surah, menghafal rukun iman dan rukun Islam, membuka ruang kepada kanak-kanak, remaja serta golongan dewasa mengambil inisiatif mendalami ilmu mengenai Islam.

(Sumber dari Berita Harian, 08/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...