Thursday, 4 March 2010

bharian: Mudah naik pangkat

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan). - Foto Izhari Ariffin


Guru berkhidmat di luar bandar diberi kelebihan

KUALA LUMPUR: Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

Beliau bagaimanapun berkata, pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan.

"Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan.

"Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang dialami sektor pendidikan ketika ini.

Alimuddin berkata, kertas kerja yang disediakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian itu akan siap tidak lama lagi dan akan dibentangkan pada mesyuarat pengurusan dan profesional sebelum dikemukakan kepada Muhyiddin untuk kelulusan.

"Apabila ia diluluskan, dasar baru berkenaan boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga sekiranya sempat atau pada sesi persekolahan baru tahun depan," katanya.

Beliau berkata, guru harus melihat penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman selama tiga hingga lima tahun daripada keseluruhan tempoh 33 hingga 35 tahun perkhidmatan mereka dalam profesion itu, sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat negara yang amat bermakna.

Katanya, rata-rata tenaga pengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman ketika ini adalah guru baru, sedangkan khidmat guru berpengalaman melebihi lima tahun juga diperlukan untuk membantu mempertingkat kecemerlangan pendidikan di kawasan itu, sekali gus merapatkan jurang prestasi antara pelajarnya dengan rakan sebaya di sekolah bandar.

"Justeru, kertas kerja itu tidak hanya bertumpu kepada penghantaran guru baru, sebaliknya turut mengkaji kepentingan menempatkan guru berpengalaman ke luar bandar serta pedalaman untuk mengisi kekosongan berdasarkan keperluan opsyen, terutama bagi mereka yang belum pernah ditukarkan ke kawasan berkenaan.

"Memang ada guru berpengalaman yang tidak pernah ditukarkan ke kawasan luar bandar atau pedalaman walaupun sudah hampir bersara. Maka, dasar umpama khidmat negara sebegini dipercayai akan mendorong guru berusaha mendapatkan penempatan ke sekolah luar bandar dan pedalaman lebih awal," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 03/03/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...