Thursday, 11 March 2010

bharian: Minda Pengarang: Kerajaan komited bangun teknologi hijau demi generasi akan datang

SKIM Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) adalah manifestasi komitmen kerajaan terhadap usaha memajukan sektor berkenaan di negara ini pada masa depan. Ia juga sejajar aku janji Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim, bagi mengurangkan pelepasan karbon dan gas rumah hijau sekali gus membantu memulihara persekitaran untuk generasi akan datang.

Pada masa sama, SPTH membuka ruang untuk menggalakkan lebih banyak pihak, khususnya sektor swasta menceburi bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang dijangka menjadi antara komponen utama pertumbuhan ekonomi pada masa depan. Kita berharap SPTH dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai pihak untuk membangunkan kepakaran dan teknologi yang dapat memacu negara menerajui bidang berkenaan. Tambahan pula, kita sebenarnya tiada pilihan selain menjadikan teknologi hijau sebagai aspek utama dalam setiap yang dilakukan. Realitinya, pada abad ke-21, hanya negara yang berjaya menguasai dan mempelopori penggunaan teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui saja yang akan berada di hadapan. Maka, SPTH yang memperlihatkan kesediaan kerajaan menanggung dua peratus daripada kos kadar faedah pinjaman dengan nisbah jaminan 60 peratus oleh kerajaan dan 40 peratus institusi perbankan, adalah pendekatan strategik mengaplikasi teknologi hijau sebagai satu daripada agenda nasional.

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) yang dibentangkan pada Ogos lalu menggariskan bahawa komitmen negara dalam bidang itu bukan untuk manfaat jangka pendek, sebaliknya ia dibuat demi faedah generasi akan datang. Dalam konteks ini, semua pihak yang ingin meneroka sektor itu harus bersedia menerima hakikat bahawa mereka perlu mempunyai pelan jangka panjang, dan bukan sekadar mahu meraih pulangan segera. Majlis Teknologi Hijau Negara (MTHN) pula memperincikan bahawa antara bidang yang diberi tumpuan dalam pembangunan sektor terbabit ialah mengurangkan penggunaan tenaga dengan menyediakan alternatif kepada bahan api fosil. Ini kerana dua aspek itu sudah seolah-olah menjadi tema sejagat, setiap kali membincangkan mengenai teknologi hijau. Sebenarnya, peluang Malaysia mendominasi industri teknologi hijau terbuka luas kerana sehingga ini, belum ada syarikat atau negara berjaya menguasainya.

Itulah sebabnya kita perlu pantas memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membolehkan negara berada di barisan hadapan teknologi hijau yang mempunyai skop yang amat luas. Dengan inovasi dan kreativiti, kita yakin Malaysia mampu membina kepakaran yang diperlukan untuk merealisasikan hasrat itu. Jika di pihak kerajaan, SPTH adalah bukti mekanisme pemangkin membangunkannya, kita kini menunggu komitmen daripada sektor swasta untuk menyambutnya dengan melancarkan pelbagai inisiatif membawa teknologi hijau ke arus perdana pembangunan negara.

(Sumber dari Berita Harian, 29/01/2010)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...